Friday 23 March 2012

Novel Kerana Cinta Itu 2



BAB 2


“SAYANG makan macam mana ni? Tengok tu,dah comot muka Fira…” Manja Amir Firdaus mengelap kesan comot di bibir Alfira. Gadis itu hanya tersenyum. Aiskrim yang tadinya rakus dijamah dibeleknya. Ada lelehan aiskrim disitu. Macam mana dia boleh tidak perasan? Tiba tiba saja dia diterpa rasa malu. Pertama kali diperlakukan semesra itu oleh seorang lelaki terasa panas juga wajahnya.
“Fira cantik bila senyum macam ni. Mir suka” Bisik Amir Firdaus di telinganya. Dicapainya tangan Alfira yang erat memegang aiskrim sundae. Tisu yang ada ditangannya digunakan untuk mengelap tangan gadis itu yang terpalit lelehan aiskrim. Alfira tersenyum mendengarkan kata-kata Amir. Dari dulu, kata-kata itu acapkali didengarnya. Dia juga suka melihat senyuman yang meniti di bibir lelaki itu. Hatinya akan jadi bergetar. Senyuman Amir sentiasa mendenyutkan irama indah dihatinya.
 “Itulah…Fira makan lambat sangat. Tengok ni, dah cair pun aiskrim ni. Patutla meleleh je.” Ngomel Amir Firdaus lagi. Alfira terasa lucu dengan bebelan Amir. Macam mak nenek pun ada!
 “Nah, Mir je lah habiskan. Fira dah kenyang” Dihulurkan aiskrimnya ke tangan Amir Firdaus. Terkejut Amir Firdaus dengan reaksi spontan Alfira. Seingatnya,tidak pernah sekalipun gadis itu gagal menghabiskan makanan. Apa saja yang dimakan, Alfira selalu mengahabiskannya. Alfira bukan jenis yang suka membazir.
“Tadi kan Fira dah cakap, Fira tak suka sangat makan aiskrim, Mir degil jugak nak beli. Kan tak habis” Kata Alfira lagi bila Amir Firdaus masih tidak menyambut aiskrim yang dihulurkannya. Memang sejak dari kecil lagi dia tidak begitu gemarkan ais krim. Kalau makanpun, sedikit sahaja. Kalau dipaksa, takut termuntah pula. Rasa aiskrim yang manis- manis melekit itu buat lidahnya jadi tidak selesa.
“Mir ingatkan Fira bergurau je tadi. Setahu Mir lah, jarang perempuan tak suka makan aiskrim. Fira ni pelik jugak ye” Aiskrim di tangan Alfira diambilnya. Kasihan melihat Alfira yang dari tadi menghulurkan aiskrim itu padanya. Tetapi dia juga sudah kekenyangan. Tidak mampu lagi menghabiskan aiskrim yang masih banyak berbaki itu.
“Kalau Fira taknak, kita buang je Okey? Lain kali Mir promise tak paksa Fira makan aiskrim lagi” Alfira menganggukkan kepalanya mendengarkan kata-kata Amir. Lega kerana Amir mula memahami sikapnya. Senyuman manis dilemparkan kepada teman lelakinya itu.
“Gadis yang pelik ni jugaklah yang Mir sayang kan?” Amir Firdaus senyum dengan kata-kata Alfira. Terasa kembang taman hatinya. Memang dia rasa bertuah memiliki Alfira. Bukan dia tak tahu di kampus mereka ramai yang ingin memikat buah hatinya itu, tetapi tak ada seorangpun yang berjaya. Amir rasa bangga bila dialah satu-satunya lelaki yang berjaya mendampingi Alfira. Dia mendekati Alfira bukan kerana ingin menunjukkan pada orang lain yang dia lelaki yang hebat, dia mendekati Alfira kerana dia benar-banar telah jatuh cinta kepada gadis itu. Malah, dia sangat bersyukur bila cintanya itu berbalas.
“Mir akan selalu ingat Fira tak suka aiskrim”
“Lagi?”Soal Alfira, menduga ingtan Amir Firdaus tentang dirinya.
“kek”
“Lagi?”
Chocalate
“Lagi?”
Teddy bear..”
“Lagi?”
Amir Firdaus sudah menggaru-garu kepalanya. Cuba mengingati apa lagi yang tidak disukai kekasihnya itu. Seingatnya, dia telah menyebutkan hampir semua benda yang tidak disukai kekasihnya itu. Ada lagikah yang dia terlupa?
“Semua yang banyak perempuan suka, Fira tak suka. Warna pink pun Fira tak suka jugak kan?” Soal Amir Firdaus lagi. Alfira menganggukkan kepalanya.Terharu dengan sikap Amir Firdaus yang prihatin.
“Mujurlah pakaian perempuan Fira suka kan? kalau tidak mesti Mir tengah berkepit dengan perempuan lain sekarang ni..”
“Amir!!!!”Jerit Alfira kuat. Geram dengan usikan teman lelakinya itu. Dicubitnya lengan Amir kuat sehingga lelaki itu mengaduh kesakitan. Sudahnya, mereka ketawa bersama-sama. Terhibur dengan gelagat masing-masing.


IMBASAN kenangan itu terhenti bila diganggu suara peramugari memberi isyarat bahawa kapal terbang akan mendarat 30 minit sahaja lagi. Alfira mengemaskan kedudukannya. Tali pinggang keselamatan diketatkan. Aku dah hampir tiba! Ya Allah….rindunya aku pada mak, nenek dan Amir. Dia benar-benar rindu dengan saat-saat manis bersama mereka semua.
Mengingatkan Amir pasti sahaja membuatkan bibirnya tersenyum. Begitu indahnya kenangan semasa kali pertama mereka keluar dating berdua dan Amir bertegas hendak membelikan aiskrim untuknya walaupun berkali-kali dia menegaskan yang dia tidak gemarkan Aiskrim. Ternyata insiden itu menjadi momen indah dalam benaknya sehingga ke hari ini. Dan selepas peristiwa itu Amir tidak lagi memaksanya makan aiskrim.
“Amir Firdaus….Fira dah kembali” Desus bibir kecilnya. Dia jadi tidak sabar untuk menatap wajah lelaki yang sudah dua tahun tidak ditemuinya itu. Tak tertanggung rasa rindu dihati ini. Kali terakhir mereka bertemupun ketika cuti semesternya dua tahun lepas. Selepas itu, dia tidak lagi pulang ke tanah air biarpun ketika cuti semester kerana sibuk menyiapkan thesis sarjananya.
Makin kacak kah dia?
Apa reaksi lelaki itu bila melihatnya nanti?
Dia tersenyum sendirian sehingga kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang KLIA.


HULURAN tangan emaknya disambut penuh kasih. Lantas tubuh sederhana ibunya itu dipeluk kemas. Menitis air matanya saat pelukan ibunya mendarat di tubuh.
“Mak..Fira rindukan Mak” Pipi emaknya dicium berkali-kali. Terasa pipinya sudah basah dengan air mata. Melihatkan wajah tua itu, hatinya jadi bertambah sebak. Bertahun terpisah, menanggung rindu berseorangan, akhirnya hari ini mereka dipertemukan semula. Bersyukur kerana dia masih lagi diberi kesempatan untuk mengucup tangan dan wajah itu.
“Mak pun sama sayang. Syukurlah, anak mak dah selamat kembali” Puan Hasnah mengusap-ngusap belakang anak gadis tunggalnya itu, cuba mententeramkan perasaan Alfira yang dilanda kesedihan. Kalau Alfira rindukannya, dia apatah lagi. Alfira satu satunya anak yang dimilikinya di dunia ini. Siang malam dia berdoa agar anak gadisnya itu sihat dan bahagia di sana. Diketepikan rasa rindu yang memberat di dada demi cita-cita puteri tunggalnya itu. Dia mahu impian Alfira terlaksana.
Alfira memandang wajah neneknya yang berdiri disisi emaknya. Pelukannya dialihkan pula kepada neneknya itu. Tubuh tua itu dipeluk kejap, menzahirkan rasa rindu melalui pelukan di tubuh itu. Tersedu-sedan dia menangis. Dia benar-benar kerinduan. Bagai anak kecil yang kehilangan ibu. Dia tak mampu menghentikan tangisannya yang makin mendayu itu. Biarlah orang sekeliling pelik melihat tingkahnya itu. Dia tak peduli. Mereka tak tahu perasaaannya tika ini.
“Udahlah tu Fira. Tak elok menangis sangat. Kan nenek dengan mak dah ada depan Fira ni. Tak lama lagi Fira dah nak jadi isteri orang, Fira kena kuat semangat sikit. Tak boleh manja-manja lagi..” Pujuk Hajjah Kalsom sambil mengelap airmata Alfira. Sebaik sahaja nampak wajah Alfira dibalai ketibaan KLIA tadi, hatinya diruntun sebak. Dia juga merindui cucu tunggalnya itu. Masih jelas saat Alfira melambai-lambaikan tangan dan berlari mendapatkan mereka dengan beg yang ditarik laju. Bersyukur kerana dia masih dipanjangkan umur untuk menatap wajah manja itu lagi.
Mendengarkan ayat yang keluar dari bibir neneknya itu, segera Alfira memanggungkan kepala. Pelukan di tubuh neneknya dilepaskan. Wajah Hajjah Kalsom dipandang.
Kahwin?
Perkataan itu mengingatkannya pada tunangnya, Amir Firdaus. Bagaimana dia boleh lupa tentang lelaki itu tadi? Pertemuan syahdu dengan kedua orang kesayangannya itu, dia terlupa pula tentang seorang lagi insan istimewa dalam hidupnya. Dipandang sekeliling mencari wajah Amir Firdaus tetapi hampa bila wajah itu tidak kelihatan.
Tidak datangkah dia?
Alfira sudah awal-awal lagi memberitahu Amir Firdaus tentang kepulangannya. Mustahil tunangannya itu boleh lupa! Hati Alfira sedikit merungut. Terkilan dengan sikap Amir yang tidak sensitif dengan perkara penting seperti ini sedangkan dulu lelaki itu telah berjanji ingin datang menjemputnya disini. Kononnya ingin menjadi orang pertama yang menemuinya sebaik sahaja tiba di Malaysia. Tapi hari ini, kelibat Amir lansung tak kelihatan. Semuanya hanya janji kosong semata-mata!
“Amir outstation ke Kuantan” Seakan tahu apa yang berlegar difikiran anaknya, Puan Hasnah memberitahu. Itulah yang dimaklumkan Datuk Ir. Suffian dan Datin Faridah dalam perbualan telefon mereka malam tadi. Amir tidak dapat menyertai mereka menyambut ketibaan Alfira kerana ada urusan penting.
“Datuk dan Datin kirim salam dekat Fira. Mereka minta maaf tak dapat datang kerana menghadiri kenduri saudara mereka di Perak. Mereka akan datang melawat Fira malam nanti” Ujarnya lagi.
Alfira menganggukkan kepalanya. Cuba memahami kesibukan Amir Firdaus walaupun ada rasa kecewa dihatinya. Perempuan mana yang tidak kecewa jika orang yang yang disayangi seakan melupakan dirinya?
“Takpelah..mungkin Amir benar-benar sibuk” Desis hati kecilnya. Dia cuba berfikiran positif. Amir takkan sengaja tidak mahu menjemputnya jika bukan kerana urusan penting. Tak mengapalah, dia masih ada banyak masa untuk bertemu dengan tunangnya itu. Kepulangannya ke Malaysia kali ini adalah untuk selamanya. Selepas ini, dia takkan berjauhan dengan lelaki itu lagi.
“Fira nak makan nasi! Mak dengan nenek kena masak sedap-sedap untuk Fira tau” Ujar Alfira lagi sambil memaut bahu kedua-dua insan yang amat disayanginya itu. Tiga tahun dibumi Jerman dia jadi rindu pada makanan Malaysia, lebih-lebih lagi juadah dari air tangan emak dan neneknya. Disana, agak sukar  untuk mendapatkan makanan yang halal. Kerana hal itu, dia lebih selesa memasak dirumah. Menu hariannya kebanyakannya berasaskan roti dan makanan laut. Jika tidak, bijirin dan buah-buahanpun sudah cukup untuk menggalas perutnya.
“Patut la cucu nenek ni makin kurus…lapar nasi ya?” Alfira tersenyum mendengar kata-kata neneknya. Dibukakan pintu kereta kepada neneknya ketika mereka tiba diruangan parking kereta. Hari itu suasana di Lapangan Terbang KLIA tidak begitu sesak dengan pengunjung. Mudah bagi Puan Hasnah untuk mendapatkan tempat parking.
“Dah lama Fira tak naik kereta Wira mak ni…” Alfira mengambil tempat duduk di sebelah ibunya yang sudah berada ditempat duduk pemandu.
“Mak dengan nenek dah masak makanan yang Fira suka. Nanti sampai rumah, kita makan sama-sama ya? Kesian anak mak ni. Makin kurus mak tengok. Ni, pipi ni. Dah tak montel macam dulu lagi. Fira tak makan ke sayang?” Puan Hasnah memegang pipi anaknya. Alfira hanya ketawa kecil degan kata-kata itu.
Terlalu kuruskah dia?
Memang diakui berat badannya sedikit menurun dua tiga menjak ini namun dia rasa tidaklah terlalu ketara. Kesibukannya menghadapi peperiksaan akhir ditambah lagi dengan kerisauannya dengan sikap endah tak endah Amir buat dia lupa untuk menjaga pemakanannya.
“Mak jangan risau. Seminggu lagi mesti berat badan Fira ni makin bertamabh bila makan makanan yang mak dan nenek masak. Nanti jangan bising cakap Fira montel pulak” Alfira membalas dan mereka bertiga ketawa serentak. Bahagia menyelubungi hati ketiga-tiga beranak yang sudah lama tidak bertemu itu.
Puan Hasnah menghidupkan enjin kereta dan kereta bergerak perlahan meninggalkan perkarangan lapangan terbang KLIA.



FIRA dah pulang!
Hanya perkara  itu yang berada difikirannya sekarang. Dia tahu hari ini gadis itu kembali ke tanah air. Sudah berkali-kali Alfira mengingatkannya di dalam setiap email-email yang dikirimnya. Alfira benar-benar mengharapkan kedatangannya di KLIA. Dia tidak pernah lupa tentang hal itu, Tetapi….
“Sayang, apa yang you menungkan tu? Dari tadi I tengok you tak habis-habis mengelamun” Suara merdu Zarina mematikan ingatan Amir Firdaus pada Alfira. Dia cuba berlagak tenang.
Everythings Okey?” soal Amir Firdaus. Tidak menjawab soalan Zarina tadi. Dari tadi dia menunggu Zarina di bilik tetamu sewaktu gadis itu menghadiri mesyuarat di syarikat itu. Sengaja dia tidak masuk, kerana fikirannya begitu terganggu sekarang. Dia takut dia tak dapat memberi tumpuan yang baik pada perbincangan itu. Lagipun, dia yakin pada kecekapan Zarina menguruskan kerja itu. Dia tak perlu bimbang untuk membiarkan Zarina menguruskannya sendirian.
Of course lah sayang, tengok lah siapa yang handle. Mereka dah setuju nak join dalam project kita ni. So….” Nada suara Zarina ceria sekali. Dia bangga kerana berjaya menarik minat pembekal untuk terlibat dalam projek yang diterajui syarikatnya dan Amir Firdaus.
So..?” Amir Firdaus inginkan kepastian dari bibir Zarina. Ayat gadis itu masih tergantung.
“You kena belanja I lah. I dah buat pelaburan besar tau tadi. Nak harapkan you…dari tadi asyik mengelamun je I tengok. Tapi beria-ria sangat nak ikut I datang Kuantan konon nak handle sama-sama” Rajuk Zarina manja.
No problem dear….benda kecil je tu. Jom, I belanja you makan” Amir Firdaus menarik tangan Zarina untuk keluar dari ruang pejabat pembekal itu.
“You tak jawab lagi soalan I tadi” Zarina masih tidak puas hati kerana persoalannya tidak berjawab. Mukanya dimasamkan sedikit.
“Tak ada apa-apalah sayang. Kepala I ni pening sikit. Mungkin tak cukup tidur siapkan proposal untuk projek ni. You jangan risau. I’m fine” Jawab Amir Firdaus sambil mengangkat tangan kanannya sebagai isyarat yang dia benar-benar dalam keadaan yang baik. Biarpun Zarina tahu tentang statusnya yang sudah bertunang dengan Alfira Hanim dia enggan berbicara tentang perkara itu waktu ini. Kepalanya sudah sakit memikirkan bermacam-macam masalah. Kepulangan Alfira, kemarahan papanya dan kini mamanya tidak habis-habis meleterinya kerana mempunyai kekasih lain. Dia jadi rimas!
Kenapa mereka tidak memahami isi hatinya ketika ini?
Dia benar-benar buntu.
“You fikirkan Fira, right? You jangan cuba nak tipu I lah Mir. I tahu dia balik hari ni. Sebab tu jugak lah you nak ikut I datang sini walaupun sebenarnya tugas ni patutnya Hasnol yang buat” Zarina menghelakan nafas berat. Kepulangan Alfira turut membuatkan dia rasa tercabar.
Bagaimana kalau kasih Amir Firdaus kembali bertaut pada Alfira?
“Rina..I tak suka cakap pasal hal ni. Kita nak makan kan? So, you duduk sekarang. kita makan” Amir Firdaus menarik kerusi untuk Zarina duduk. Mereka makan di Restoran berdekatan sahaja memandangkan perut masing-masing sudah kelaparan.
“Sama ada you suka atau tak, kita kena bincangkan jugak hal ni. Fira dah balik, apa akan jadi dengan I?” soal Zarina. Bukan tidak pernah terdetik rasa bersalah di hatinya kerana merampas cinta Amir Firdaus. Tetapi, kalau hanya dia seorang yang berkeinginan, perkara ini tidak akan terjadi. Dia terpaksa menebalkan muka bila mata Datuk Ir. Suffian memandang kurang senang pada dirinya. Bagi zarina, selagi Amir Firdaus  menyintainya, dia tidak perlu rasa bersalah.
“Tak ada apa-apa yang akan terjadi Rina. Kan I dah cakap dekat you, hati I sekarang hanya milik you. I dah lama lupakan Fira. I tak cintakan dia lagi..”Kata-kata Amir Firdaus terhenti sebaik sahaja pelayan tiba mengambil pesanan. Mereka berdua memesan nasi goreng ayam dan milo ais.
“You pasti Mir? Tiga tahun tahun you tak jumpa dia, mungkin dia makin cantik sekarang. I risau you akan balik semula dekat dia. Lagipun parents you tak suka I” Adu Zarina. Dia pasti keluarga Amir menentang keras hubungan mereka. Di mata mereka, dialah perampas. Biarlah..dia tidak pernah kisah akan tanggapan orang padanya. Bekerja sebagai model sambilan, dia sudah lali dengan umpat keji orang terhadapnya. Selagi dia bahagia, dia tidak perlu pedulikan semua tohmahan itu. Memikirkan semua itu hanya membuatkan hatinya bertambah sakit.
“Hati dan keputusan I tetap sama. You tak perlu risau” Pujuk Amir Firdaus. Dia yakin dengan kata hatinya. Dia akan berterus terang dengan Alfira. Dia yakin Alfira dapat menerima semua ini. Dia kenal sangat dengan Alfira. Entahlah, sepatutnya tempoh tujuh tahun itu cukup lama untuk dia mengenali dan menyintai Alfira, Menetapkan hatinya hanya untuk gadis itu tetapi kenapa hatinya kini berubah? Dia sendiri tidak pasti. Mungkin kerana jarak mereka yang jauh atau Zarina lebih sempurna dimatanya. Cinta…datangnya tidak pernah mengenal waktu!
“Tak sampai dua bulan lagi you nak kahwin. You cakap dekat I jangan risau? Mir…you sayangkan I ke tidak ni? “ Zarina sedikit mendesak. Perempuan mana yang sanggup melihat lelaki yang dicintainya berkahwin dengan orang lain? Kalau adapun mungkin jenis yang mudah mengalah pada takdir. Tetapi bukan pada dirinya. Dia takkan sesekali melepaskan apa yang dia sayangi sesuka hati. Baginya, hanya orang gila sahaja yang akan berbuat begitu!
“I takkan kahwin dengan dia” Ringkas jawapan Amir Firdaus.
“Semua orang tahu dia tunang you Mir…Papa you tu orang kenamaan. Pasal hal kenduri you ni pun semua orang dah tahu. You yakin family you boleh terima keputusan you ni?”Soal Zarina lagi. Disedutnya air milo ais yang baru dihantar pelayan tadi menggunakan straw. Jiwanya turut kacau. Kenapa Alfira perlu pulang sekarang?
“Rina….I dah cakap dekat papa. Kenduri tu tetap akan diteruskan”
What? Mir, you gila ke apa? I macam mana? I sayangkan you Mir. Dah lama I sayangkan you..You lupa ke Mir?” Berkaca anak mata Zarina. Ada riak risau diwajahnya. Suaranya sedikit menjerit. Dia tak mahu kehilangan Amir!
“Kenduri itu akan tetap diteruskan tapi pengantin perempuannya adalah you” Jawab Amir Firdaus. Hanya itu sahaja cara yang dia ada. Selain menjaga maruah keluarganya daripada malu kerana kenduri yang tidak jadi, dia juga dapat menikahi Zarina segera. Lagipun, persiapan perkahwinan sudah dilakukan. Walaupun dia tidak pernah ambil tahu tetapi dia tahu mamanya sudah mengupah perunding perkahwinan untuk majlis itu nanti. Dia sudah malas ingin lama-lama bercinta seperti yang berlaku antara dia dan Alfira. Bertahun berkasih tetapi tak jadi kahwin.
“Betul ni sayang? Family you....”
“You tak perlu risau. I tahu pujuk mereka. Lagipun I yang nak kahwin. I taknak rosakkan masa depan Alfira dengan mengahwininya. I tak cintakan dia..I pasti parent I akan faham” segera Amir Firdaus memotong kata-kata Zarina. Dia sudah bertekad, apapun terjadi dia tetap akan mengahwini Zarina.
“Mereka akan salahkan I sebab rampas you!” Zarina masih tidak percaya. Masakan semudah itu family Amir dapat menerimanya?
“Rina, trust me please…Semuanya akan baik saja. You tak perlu risau. Ini janji I” Tangan Zarina dicapai dan dielusnya lembut. Mengharapkan pengertian Zarina. Dia sudah lelah membincangkan hal ini. Serabut! Dia sudah nekad dengan keputusannya.
Alfira Hanim…Maafkan Mir! Hatinya berkata lagi.


2 comments:

  1. ehhh apa ni, jahat la die ni. xsuke taw

    ReplyDelete
  2. eeee... geramnya .... dgn lelaki ni..
    pity fira.... buang masa bertahun2x
    setia dgn kekasih hati yg memang ternyata tak boleh setia.
    sedap mulut aja kata dah tak ada cinta lagi...
    takpalah fira... jika benar dia jodoh tetap akan jadi milik dan jika memang tertulis bukan jodoh ... bersabar dan redha yg sebaik2xnya. moga ada kebahagian lain yg menunggu.
    thanks Fatin for the N3... :)

    ReplyDelete

Jemput komen. Sebarang komen membina amat membantu saya memperbaiki mutu penulisan. Thank's sudi baca =)