Tuesday 3 April 2012

Novel Kerana Cinta Itu 4




AMIR Firdaus menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduannya. Alfira Hanim disebelahnya hanya mendiamkan diri. Sepi ! Itulah yang dirasakannya saat ini. Hendak memulakan bicara bibirnya seakan kaku. Dua tahun tidak bertemu sepatutnya banyak perkara yang boleh mereka bualkan, tetapi dia tidak tahu mengapa dia tidak mampu mengeluarkan walau sepatah ayatpun ketika ini.
Sesekali ekor matanya menjeling ke arah tunangnya disebelah. Cantik! Itulah ayat pertama yang terdetik dihatinya sewaktu melihat Alfira Hanim tadi. Dia tahu gadis itu memang cantik tetapi hari ini dia merasakan Alfira lebih cantik dari hari hari yang lalu. Dengan dress labuh berwarna biru laut, penampilan Alfira tampak anggun sekali. Bibirnya tersenyum sendirian mengingatkan betapa dia begitu gila bayang sewaktu pertama kali menatap wajah itu dulu.
Dia memakirkan kereta Honda City nya di tempat parkir kereta Taman Tasik Shah Alam. Sengaja dia memilih untuk makan di Restoran Tasik Indah yang seakan-akan terapung di tengah tasik Shah Alam itu. Dia tahu kesukaan Alfira yang gemar menikmati keindahan alam. Dulu, sewaktu mereka masih menuntut di UiTM Shah Alam, Taman Tasik Shah Alam ini selalu menjadi pilihan mereka untuk aktiviti beriadah. Kadang-kadang mereka datang berdua dan adakalanya bersama teman-teman yang lain. Yang pasti, tasik ini banyak menyaksikan memori indah antara mereka berdua.
Tanpa sepatah kata, Amir Firdaus turun dari kereta. Dibukakan pintu untuk Alfira Hanim dan gadis itu melemparkan senyuman manis untuknya. Terpana dirinya seketika. Lama diperhatikan wajah yang manis dengan senyuman itu. Sungguh dia sangat merindui Alfira tetapi mengapa hatinya tidak kuat untuk terus bersama tunangannya itu?
“Kenapa pandang Fira macam tu?” Soalan yang meletus dari bibir Alfira buat Amir kaget sebentar. Malu rasanya merenung Alfira begitu. Namun, semua itu berlaku di luar kesedarannya. Senyuman gadis itu buat dia rasa tidak berpijak di bumi nyata. Indah dan begitu memukau matanya.
“Err..Ehmm…jom kita masuk” Balas Amir Firdaus, cuba menutup kegugupan diri sendiri. Alfira sekadar menganguk. Senyuman manis masih meniti dibibirnya membuatkan Amir semakin disapa rasa debar.
Mereka beriringan masuk kedalam Restoran. Sudut penjuru restoran yang mengadap pancuran air ditengah tasik menjadi pilihan mereka berdua. Amir Firdaus sudah awal-awal lagi membuat tempahan makanan untuk mereka berdua malam itu. Sebaik mereka tiba, dua gelas orange juice sudah siap tersedia di atas meja.
“Mir nampak makin kurus. Kulitpun dah gelap sikit. Banyak main panas ya?” Teguran Alfira memecah kebisuan antara mereka berdua.
Sejak tadi dia mendiamkan diri kerana memberi peluang untuk Amir  memulakan bicara tetapi lelaki itu hanya membisu. Memikirkan mungkin Amir sedang memikirkan masalah yang dihadapinya, akhirnya Alfira mengalah. Sampai bila mereka harus meneruskan sesi pandang memandang tanpa sebarang kata? Dia mahu berbual dengan lelaki itu seperti dulu. Dia rindukan kemesraan yang pernah terjalin antara mereka berdua.
Malam itu, dia sengaja memilih baju lama yang dihadiahkan Amir Firdaus semasa hari lahirnya yang ke-21. Malah, petang tadi habis semua baju-baju di dalam almari digeledahnya. Dia mahu mencari baju yang terbaik untuk digayakan malam ini. Pertemuan pertama selepas dua tahun, dia ingin nampak cantik di mata Amir Firdaus. Biarpun dadanya ini  sarat dengan pelbagai persoalan tentang perubahan sikap Amir kebelakangan ini dia tetap ingin Amir berasa teruja saat melihatnya.
“Mir banyak kena keluar site. Itu yang hitam ni..”Amir Firdaus menjawab sambil tersenyum. Terserlah wajah tampan yang dimilikinya itu.
Alfira tersenyum. Masih membelek wajah tampan dihadapannya. Segenap ruang wajah itu ditatapnya puas-puas. Wajah lelaki inilah yang dirinduinya selama bertahun tahun. Setelah lama tidak bertemu, penampilan Amir tampak lebih kemas dan segak. Sesuai dengan kerjayanya sebagai Pengurus Besar di syarikat. Walaupun susuk tubuh lelaki itu sedikit susut berbanding dulu, namun tetap nampak sempurna di mata Alfira. Yang tidak berubah tentu saja renungan matanya. Panahan mata itu selalu membuatkan hatinya terasa berdebar debar seperti sekarang.
“Fira pun makin kurus je Mir tengok. Banyak kerja ya dekat sana? Atau Fira tak cukup makan ni?” soal Amir Firdaus. Direnungnya lagi wajah Alfira Hanim .Seperti dulu, dia tidak pernah jemu menatap wajah cantik itu. Dengan sepasang mata bundar dan bibir mungil itu, hati lelaki manalah yang tidak tertawan bila melihatnya. Namun, kecantikan Alfira sekarang takkan mampu mengubah pendiriannya. Dia sudah nekad dengan keputusannya.
“Taklah. Bukan sebab tak makan tapi sebab Fira rindukan Mir…” Perlahan nada suara Alfira Hanim tetapi tetap jelas dipendengaran Amir. Alfira menundukkan wajahnya. Entah mengapa,dia terasa malu pula mengungkapkan kata-kata itu dihadapan Amir Firdaus sedangkan sebelum ini dia tidak pernah pula rasa begitu. Mungkin kerana sudah terlalu lama mereka tidak bersua muka menyebabkan timbulnya rasa malu.
Amir Firdaus terdiam mendengar kata-kata yang baru dilafazkan Alfira sebentar tadi. Dia tahu tentang itu tetapi dia tidak tahu apa yang patut dijawabnya. Rindukah dia pada Alfira? Entahlah…dia tak mengerti tentang perasaannya sekarang. Mungkin ada sedikit kerinduan dihatinya dulu  tetapi rindu itu sudah lama terubat sebaik sahaja Zarina hadir dalam kehidupannya. Sejak itu, dia bagai melupakan kewujudan Alfira di hatinya. Gadis itu sudah makin jauh dari ingatannya.
Ketika pelayan datang menghantar makanan, mereka masih lagi mendiamkan diri. Amir meramas jari jemarinya. Melihatkan raut wajah Alfira yang masih menanti jawapannya, dia rasa bersalah. Dia tahu Alfira mahukan balasan ungkapan yang sama darinya. Dia mengerti tentang itu tetapi dia tak mampu untuk mengeluarkan sepatah ayatpun ketika ini. Lebih dari itu, dia khuatir kata-katanya nanti akan menghiris hati Alfira. Dia tak mahu menipu Alfira lagi. Cukuplah apa yang dilakukannnya selama ini.
Wajah Alfira ditatap lagi. Walaupun Alfira masih lagi mampu mempersonakan hatinya tetapi Zarina lebih dari itu! Dia cintakan Zarina sangat-sangat! Walaupun dia yakin pilihannya nanti akan melukai hati Alfira tetapi dia terpaksa. Perasaannya bukan boleh dipaksa. Kalau sudah begitu kehendak hatinya, dia tak mampu berbuat apa-apa. Memang rasa cinta untuk Alfira telah mati. Itu hakikat yang harus mereka terima.
“Mir tak rindukan Fira kan?” Soal Alfira setelah lama berdiam diri. Sedih kerana Amir Firdaus lansung tak membalas ungkapannya. Pilu kerana Amir tidak merasai apa yang dirasakan saat ini. Lelaki itu bagai tidak mahu berkongsi rasa yang sama lagi dengannya.
Amir Firdaus mengeleng-gelengkan kepalanya. “Mana ada..” Balasnya.
Dipandangnya jari jemari Alfira Hanim yang sedang bermain-main dengan sudu dan garfu. Ada cincin pertunangan mereka di jari manis gadis itu. Melihatkan cincin itu buat hati lelakinya diterpa rasa sayu. Alfira benar-benar menyintainya dan menjaga ikatan pertunangan antara mereka tetapi dia? Cincin pertunangan mereka yang tersarung dijarinya dulu telah lama ditanggalkan. Sejak bersama Zarina, dia sudah nekad menanggalkan cincin itu. Baginya, hubungannya dengan Alfira sudah berakhir dan kehidupannya bersama Zarina bakal bermula. Dia tidak tahu bagaimana untuk berterus terang dengan Alfira saat ini. Dia jadi takut untuk melukai hati sebaik Alfira.
“Makanlah..kenapa tak makan? Kan Fira suka nasi goreng paprik ni?” Soal Amir Firdaus. Pelik kerana dari tadi Alfira lansung tidak menjamah makanan. Dia hanya menguis-menguis makanan didalam pinggan. Alfira hanya menganggukkan kepalanya. Dia cuba menyuapkan makanan ke mulutmya. Namun, semuanya terasa tawar dan payah benar untuk ditelan. Dia tak punya selera untuk makan.
Alfira menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Hatinya benar-benar bimbang kala ini. Dia rasa tidak sedap hati. Kelakuan Amir tidak seperti dulu. Malah kata-kata yang keluar dari bibir lelaki itu dingin dan kaku. Amir Firdaus sudah jauh berubah! Malah Alfira perasan lelaki itu tidak lagi memakai jam tangan yang dihadiahkannya semasa hari pertunangan mereka dulu. Lebih mengejutkan bila melihat cincin pertunangan mereka juga sudah tiada di jari manis Amir. Sebaknya datang tiba-tiba. Dadanya turut bergetar hebat. Apakah Amir benar-benar telah melupakan dirinya?
“Mir nak bagitau apa dengan Fira? “ Soal Alfira. Ada getar dari nada suaranya. Dia tak mampu lagi untuk terus menunggu. Dia mahukan penjelasan Amir tentang semua persoalannya selama ini dan dia yakin lelaki itu punya jawapannya.
Amir Firdaus melepaskan nafas berat. Dirautnya rambutnya kebelakang. Patutkah dia berterus terang? Dengan keadaan Alfira sekarang, dia pasti hati tunangannya itu akan terluka teruk. Tapi jika tidak diberitahu, tentu dia terpaksa mengahwini Alfira sedangkan dia tidak lagi menginginkan Alfira sebagai suri di hatinya. Hanya Zarina yang diinginkannya. Dia tidak boleh terus menerus menipu Alfira tentang perasaannya kini.
“Susah Mir nak cakap..Mir takut Fira tak dapat terima..”Luah Amir perlahan.
“Maksud Mir? Cakaplah…Fira nak tahu…” Kata Alfira sedikit menggesa. Debaran di dadanya sudah semakin kuat. Tubuhnya juga sudah terasa sejuk. Hatinya terasa kurang enak. Bagai ada sesuatu yang buruk bakal menimpanya. Alfira menelan liur sendiri. Wajah Amir dipandangnya tanpa kelip.
“Mir nak kita putuskan pertunangan kita..”
Berdenting bunyi sudu dan garfu terjatuh di atas pinggan saat Amir Firdaus usai meluahkan kata-kata. Alfira Hanim Benar-benar tergamam. Lidahnya jadi kelu tiba-tiba. Ya Allah..petaka apakah ini? Dadanya sudah terasa berombak ganas.
“Mir minta maaf Fira. Mir yang salah. Mir dah ada orang lain…”
Alfira Hanim masih juga seperti tadi. Diam. Wajahnya tidak berganjak lansung dari memandang Amir Firdaus. Jantungnya makin berdegup laju. Dia cuba mempercayai apa yang diungkapkan Amir Firdaus ketika ini. Benarkah atau dia yang tersalah dengar? Tubuhnya sudah terasa seram sejuk.
“Mir tak boleh tipu diri Mir. Mir tak cintakan Fira lagi. Mir minta maaf. Perkahwinan kita tak boleh diteruskan..Mir janji akan tanggung semua kos persiapan perkahwinan kita. Mir akan bayar balik semuanya….” Amir Firdaus bagai mendapat kekuatan untuk terus bersuara bila melihat Alfira hanya mendiamkan diri.
“Mir dah cuba tetapkan hati Mir pada Fira sahaja..Tapi Mir tak boleh. Cinta untuk Fira dah lama tak ada. Jiwa Mir dah kosong. Mir rasa bersalah sangat. Maafkan Mir…Mir tak setia dengan Fira”
Alfira Hanim memejamkan matanya. Setiap kata-kata yang keluar dari bibir Amir bagaikan belati tajam yang menusuk jantungnya. Pedih dan menyakitkan. Dia berharap dia akan segera terjaga dari mimpi ngerinya saat ini. Dia tak mahu mimpi itu terus menghantui perasaanya. Namun bila mata dibuka, wajah Amir juga yang dilihatnya. Pipinya dipegang dan dicubit. Sakit! Dia tak bermimpi! Apa yang dikatakan Amir itu benar belaka. Semuanya benar!
“Soal hati dan perasaan tak boleh dipaksa. Memang kita dah bersama selama tujuh tahun. Bagi Mir, kita memang tak ada jodoh…..”
Semakin banyak Amir berkata-kata, semakin pedih hatinya ini. Sebaknya bertandang tanpa disuruh. Empangan air matanya tunggu masa sahaja mahu pecah. Dia tidak kuat untuk menerima semua ini. Kepalanya terasa berpusing-pusing. Pening dan sakit. Nafasnya juga sudah makin tidak teratur. Sesak! Pantas dia bangun dari kerusi. Dia tak betah lagi untuk terus berada di situ. Tanpa sepatah kata, dia berlalu pergi dari situ tanpa sempat dihalang Amir.
“Fira!” Jerit Amir Firdaus lantang. Terkejut dengan perlakuan tiba-tiba Alfira.
 Dia memanggil lagi namun hampa bila Alfira Hanim lansung tidak mahu menoleh malah makin laju pula berjalan. Kelam kabut Amir Firdaus membuat pembayaran di kaunter sebelum mengejar Alfira. Tangan gadis itu ditariknya. Ingin menghalang Alfira dari terus melangkah. Namun seraya wajah cantik itu ditatapnya, dia tergamam. Hiba rasanya bila melihat wajah Alfira yang sudah basah dengan air mata. Sendu tangis yang kedengaran benar-benar meruntun perasaannya. Ya Allah..apa yang dilakukannya ini? Alfira nampak terluka benar. Telahannya bahawa gadis itu akan tabah dengan keputusannya ternyata salah sama sekali. Hakikatnya, Alfira amat terluka. Rasa bersalah mula menghimpit dirinya.
Alfira segera menarik tangannya dari pegangan Amir Firdaus. Wajahnya segera dialihkan dari terus ditatap Amir Firdaus. Air mata yang tidak putus putus menghujani pipinya dikesat. Bibirnya diketap kuat, menahan rasa sakit dan geram.
“Fira,Mir…….” Amir cuba menarik tangan Alfira kembali namun cepat ditepis Alfira.
“Jangan sentuh saya!” Kasar kedengaran suara Alfira. Terdiam Amir dibuatnya. Dia jadi bersalah kerana membiarkan hati gadis itu terguris tetapi dia tidak berdaya untuk mengubatinya. Kalu dulu, dia tidak pernah membenarkan hatta setitispun airmata gadis itu tumpah tapi sekarang? Dia sendiri yang menjadi punca Alfira menangis!
“Mir hantar Fira ya? Please….jangan buat macam ni. Mir risaukan keselamatan Fira” Pujuk Amir Firdaus lembut. Tangan gadis  itu kembali dipegang kejap.
Hakikatnya dia sendiri tak cukup kuat untuk melihat air mata yang mengalir keluar dari mata bundar itu namun apakan dayanya. Pendiriannya hari ini adalah untuk kebaikan mereka bersama. Dia tak mahu membina mahligai yang kosong isinya. Alfira patut faham akan hal itu.
“Lepaskan Fira!” Jerit Alfira Hanim lantang.
Alfira meronta-ronta minta dilepaskan. Dia tidak mahu mendengar lagi suara Amir Firdaus. Dia mahu segera pergi dari situ. Dia tak mahu terus dihantui dengan kata-kata yang diungkapkan lelaki itu sebentar tadi.  Sakitnya sudah tak tertanggung.
Sebaik sahaja berjaya melepaskan diri dari pegangan Amir Firdaus dia cepat-cepat belari laju meredah kegelapan tasik itu. Dia tak tahu mahu berlari kemana, yang dia tahu dia mahu pergi jauh dari Amir. Dia mahu lari dari kenyataan yang amat payah untuk ditelannya! Air matanya yang laju mengalir menuruni pipi dibiarkan. Dia tidak mahu menoleh kebelakang lagi walaupun suara Amir Firdaus nyaring memanggil namanya. Dia terus berlari dan berlari tanpa arah tujuan membawa  bersama hatinya yang sudah hancur luluh. Alfira meraung kesedihan….Ya Allah…petaka apakah ini? Rintih hatinya sayu sebelum dia terjelepok jatuh ditepi tasik itu. Dia menangis teresak esak di situ juga.


NADIA sudah naik buntu untuk memujuk Alfira. Dari mula Alfira tiba dirumahnya, air mata gadis itu tidak henti-henti mengalir. Wajah Alfira sudah sembab dek tangisan yang terlalu banyak. Alfira hanya memintanya menghubungi ibunya memberitahu dia bermalam dirumahnya. Itu sahaja! Apabila ditanya, Alfira hanya mendiamkan diri. Nadia benar-benar risau. Selalunya, Alfira tidak pernah begini. Gadis itu kelihatan bagaikan hilang arah tuju. Tampak bingung dan buntu.
Nadia membawa Alfira kebiliknya. Dibaringkan Alfira dikatil bujangnya. Sejuk terasa saat dia tangan itu disentuhnya. Tadi, ketika Alfira menelefon untuk meminta mengambilnya di Taman Tasik Shah Alam, Nadia jadi panik. Dengan suara yang dikaburi tangisan dia yakin ada sesuatu yang buruk telah berlaku kepada sahabat karibnya itu.
Bergaduh dengan ibunya kah? Telah Nadia.
Tapi mana mungkin! Alfira manja dengan ibunya atau…..dengan Amir Firdaus!
Kali ini Nadia yakin dengan telahannya. Pasti kerana Amir Firdaus. Nadia menyelimutkan Alfira yang sudah terlena bersama air mata yang masih bersisa dipipinya. Dia jadi simpati. Biarlah Alfira menangis sepuasnya. Selepas ini dia yakin Alfira akan menceritakan masalah yang membebani fikirannya itu apabila dia benar-benar bersedia.
Nadia melangkah keluar dari bilik itu. Tidak mahu menganggu lena Alfira Hanim. Dicapainya telefon bimbitnya untuk menghubungi ibu Alfira. Tidak lama menunggu, panggilannya berjawab.
“Assalammualaikum makcik. Nadia ni”
“Waalaikummussalam Nadia. Bila nak datang rumah makcik ni? Dah lama kita tak jumpa” Balas Puan Hasnah ceria.
“Esok Nadia datang. Hantarkan Fira”
“Fira ada situ? Bukanke dia keluar dengan Mir tadi? Macam mana pulak boleh ada dekat situ?” Soal Puan Hasnah bimbang.
“Makcik jangan risau. Dia saja je singgah nak jumpa saya. Lepas tu dia terlena. Saya kasihan nak kejutkan dia. Esok saya hantar dia balik. Lagipun esok saya tak keja. Cuti.” Nadia terpaksa berbohong kerana Alfira sudah awal-awal lagi berpesan jangan biarkan emaknya risau.
Kali ini Nadia yakin memang Amir Firdaus yang menjadi punca Alfira menangis teruk. Lelaki itu memang kurang ajar! Tidak tahu menjaga hati tunang sendiri. Nadia jadi geram.
“Fira Ok tak tu?” Soal Puan Hasnah lagi.
“Fira Ok..dia leka sangat bersembang dengan saya sampai tertidur. Makcik jangan risau”
“Takpelah macam tu. Terima kasihlah Nadia tolong tengok tengokkah Fira tu. Seronok sangat jumpa tunang dia sampai taknak balik rumah. Mesti suka hati sangat bercerita pasal Mir tu..” Puan Hasnah ketawa dihujung talian.
Nadia mendiamkan diri. Kalaulah makcik tahu…Makcik takkan sanggup lihat keadaan Fira sekarang. Dia benar-benar terluka makcik!. Detik hatinya.
“Esok Nadia makan dekat rumah makcik tau. Makcik masak special untuk Nadia” Kata Puan Hasnah lagi.
“Baiklah makcik. Maaflah ganggu makcik malam-malam macam ni. Kita jumpa esok ya.”
“Tak ada menganggunya. Makcik tengah tengok TV je ni. Selamat malam Nadia”
“Selamat malam makcik..” Nadia mematikan talian telefon.
Hatinya masih bimbang dengan keadaan Alfira. Dia memasuki biliknya. Alfira masih memejamkan mata tetapi dahi gadis itu dilihat berkerut kerut. Sekejap sekejap kepalanya bergerak ke kiri dan ke kanan.
“Mir..Mir..jangan tinggalkan Fira..” Dalam tidurnya, Alfira mengigau menyebut nama Amir Firdaus.
“Mir..Mir..jangan tinggalkan Fira” Perkataan itu diulang lagi.
Terkejut Nadia mendengar kata-kata Alfira dalam mamainya itu.
Mir tinggalkan Fira?
Apa yang sudah berlaku?
Minda Nadia terus diasak dengan pelbagai persoalan sehingga akhirnya dia juga turut terlena disisi Alfira.

2 comments:

  1. ala fira ni, ingat tuhan sama.... ni dah cukup bagus tuhan nk tnjk prgai sbenar mir sebelum kawen, di buatnye lpas kawen mir buat prgai, lagi sedih

    ReplyDelete
  2. Menanti sambungan bagi e-novel Kerana Cinta Itu.. =)

    Agak-agaknya apalah sambungannya di Kerana Cinta Itu 5 kan?Tak sabar nak baca..

    http://iklil-syahmi.blogspot.com/2012/05/alodia-menjejak-raja-prolog.html

    ReplyDelete

Jemput komen. Sebarang komen membina amat membantu saya memperbaiki mutu penulisan. Thank's sudi baca =)