Monday 9 April 2012

Novel Kerana Cinta Itu 5


BAB 5


ALFIRA HANIM masih tidak mampu menghentikan tangisannya. Dia cuba menahan air matanya tetapi air itu laju sahaja mengalir bagaikan empangan yang pecah. Usai solat subuh tadi sewaktu menadahkan tangan memohon doa dalam esak tangisnya dia memanjatkan doa agar ditabahkan hatinya, dikuatkan semangatnya. Ya Allah batapa terlalu lemahnya dia saat ini….
“Fira”
Nadia yang baru muncul dari muka pintu menggeleng-gelengkan kepala bila melihat Alfira masih menangis. Alfira hanya memandang dengan pandangan kosong. Dia masih tidak percaya dengan apa yang berlaku didalam hidupnya saat ini. Sungguh, hatinya terasa sangat sakit.Sampai hati Amir…
“Fira,kau demam ni. Badan kau panas…jom kita ke klinik” Ujar Nadia sebaik sahaja tangannya mendarat ke dahi Alfira. Suhu badan Alfira yang panas buat hatinya diterpa risau.
Alfira mengelengkan kepalanya. Dia sudah tidak peduli lagi apa yang akan berlaku pada dirinya selepas ini. Kalau ke klinik sekalipun doktor takkan mampu merawat luka yang berdarah dihatinya. Sakit hatinya ini belum tentu ada penawarnya.
“Fira..please jangan macam ni. Kau demam tu. Nanti kalau dibiarkan, makin melarat sakit tu. Cubalah bawa bersabar sama. Kalau kau ada masalah sekalipun, kesihatan tetap kena jaga” Tegur Nadia.
“Sakit aku tak mungkin sembuh Nad. Tak ada apa yang dapat merawatnya…biarlah Nad. Aku okey. Kau tak payah risau” Balas Alfira dengan suara yang tersekat-sekat.
“Fira, bagitau aku apa yang Amir dah buat dekat kau. Jangan diam macam ni. Aku risau” Desak Nadia.
“Nad..aku jahat ke Nad? Apa yang orang tak suka dekat aku?”
“Apa kau merepek ni. Kalau kau jahat takkanlah aku nak kawan dengan kau. Kau baik sangat Fira. Bagitau aku,apa yang berlaku?” Balas Nadia lagi. Hatinya sudah tidak sabar untuk mengetahui apa yang terjadi antara Amir dan Alfira.
“Amir..dia..dia..dia dah tinggalkan aku…” Berderai lagi air mata Alfira saat mengeluarkan kata-kata itu. Dia tidak mampu untuk  membendung kesedihan hatinya. Dia sangat menyintai Amir Firdaus. Selama ini dia selalu berharap hidup dan matinya bersama lelaki itu. Namun, ternyata semuanya hanyalah impian kosong. Amir sudah tidak menyintainya lagi.
Nadia yang terkejut dengan kata-kata Alfira segera memeluk tubuh sahabatnya itu. Dia membiarkan Alfira menangis semahunya di bahunya. Melihat kesedihan yang ditanggung Alfira, dia juga turut berasa sebak. Betapa kejamnya Amir Firdaus! Dia tak tahu benda apa yang telah merasuk fikiran Amir sehingga sanggup meninggalkan Alfira begitu saja. Bukan sebulan dua mereka bersama. Sudah tujuh tahun! Kenapa baru sekarang Amir hendak berubah hati?
“Nad…aku tak tahu apa salah aku. Mir..Mir nak putuskan pertunangan kami. Lagi sebulan je Nad aku nak kahwin. Aku tak tahu nak buat apa…aku sedih sangat Nad…Hati aku sakit sangat..”
“Fira,aku faham perasaan kau…tapi kenapa Mir buat macam ni? Aku macam tak percaya yang…..”
“Dia dah ada perempuan lain Nad. Dia dah tak sayangkan aku..dia dah buang aku…” Potong Alfira sebelum sempat Nadia menghabiskan ayatnya. Mengigatkan pengakuan Amir semalam, semakin lebat air mata yang menghujani pipinya. Sendunya semakin jelas kedengaran.
Alfira teresak-esak menangis. Dia benar-benar rasa kehilangan. Amir Firdaus adalah segala-galanya untuknya. Sewaktu lelaki itu tidak mengendahkan dirinya sejak enam bulan yang lalu, dia masih boleh bertahan, masih mampu bersabar kerana dia yakin cinta Amir Firdaus hanya untuknya. Tetapi kini, bukan sahaja dia kehilangan perhatian Amir Firdaus tetapi cintanya juga! Dia telah kehilangan segalanya…
“Aku tak tahu apa salah aku Nad…kalau aku tahu nak jadi macam ni, aku takkan pergi Jerman. Aku sayangkan Mir. Aku sayang dia sangat-sangat. Bertahun aku rindukan dia, aku setia dekat dia. Tapi ini yang aku dapat. Hati aku hancur..hancur Nad..”
Alfira bagaikan sudah hilang pedoaman. Raungannya saja boleh meruntun sesiapa sahaja yang mendengar. Nadia yang memerhati turut menangis. Betapa tersiksanya Alfira. Alfira mersakan dirinya terlalu lemah. Dia tidak pernah terfikir lansung yang akan kehilangan Amir Firdaus. Lelaki itu sangat sayangkannya dulu. Mustahil semuanya lakonan Amir semata-mata! Tujuh tahun mereka bercinta, masakan semudah itu Amir merobohkan impian yang mereka bina selama ini. Hanya kerana wanita lain!
“Fira..kau jangan macam ni. Kuatkan semangat. Kita cuba bincang perkara ni dengan Amir. Dia dah salah buat pilihan..”
“Nad..dia dah cakap yang dia tak cintakan aku. Kenapa nak tanya dia lagi? Dia dah mengaku depan aku yang dia tak cintakan aku dah..dia tak sayangkan aku lagi Nad….”
Alfira terasa kepalanya sakit, terasa berdenyut denyut. Banyak bebanan yang terpaksa dipikulnya. Apa yang mesti dijawabnya bila mak bertanya tentang Amir nanti? Macam mana pulak dengan nenek yang sangat menyayangi Amir? Dia tidak tahu bagaimana untuk berterus terang. Mengapa Mir? Mengapa Mir buat Fira macam ni?
“Fira..sudahlah tu. Jangan fikirkan sangat. Kau tak sihat tu..” Pujuk Nadia. Bukan dia tidak menyebelahi dan menyokong Alfira, tetapi dengan keadaan Alfira sekarang, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan kata-katanya yang mungkin membuat Alfira lebih tertekan. Alfira perlu berehat. Gadis itu tampak lemah sekali.
“Nad…sakit hati aku ni bila ditinggalkan tetapi aku lagi terluka bila kehilangan cinta orang yang pernah cintakan aku. Dia pernah cintakan aku. Dia pernah buat aku bahagia…Tujuh tahun hubungan kami tapi dia boleh lupakan aku dalam masa beberapa bulan je. Aku sedih sangat-sangat Nad. Aku cuba buat dia bahagia dengan aku, tapi dia tak bahagia Nad. Dia bencikan aku…”
“Fira..kau tak salah pun. Sudahlah Fira. Jangan cakap lagi. Kau demam tu. Tidurlah..” Pujuk Nadia. Dilapnya air mata Alfira yang tak henti-henti mengalir. Mata Alfira sudah membengkak.
“Aku cintakan Amir tapi dia dah tak cintakan aku. Dia dah ada orang lain. Apa aku nak buat ni Nad? Tolong aku……” Alfira memegang kejap tangan Nadia. Kepalanya terasa berpusing pusing.Tidak lama kemudian,  Alfira terjelepok jatuh tidak sedarkan diri  disisi Nadia.
“Fira!” Nadia menjerit.


DARI satu kedai ke satu kedai mereka masuk tetapi Zarina masih belum puas membeli belah. Sudah penuh tangan Amir Firdaus dengan beg jinjit yang memuatkan pelbagai jenis barangan peribadi Zarina termasuk tas tangan dan pakaian baru. Kakinya terasa penat menurut jejak Zarina yang kaki shopping itu.
“Sayang, sudahlah tu. Dah macam-macam you beli ni. Takkan nak beli lagi kot” Ngomel Amir Firdaus. Kakinya sudah terasa lenguh, namun dia masih setia menemani teman wanitanya itu.
“Ala..I nak cari belt yang boleh matching dengan baju yang I beli tadi. Sekejap je lagi sayang. Jomlah..I promise ni last kedai kita masuk lepas ni kita pergi lunch okey?” Pujuk Zarina sambil tersenyum senyum.
Dia rasa bertuah kerana Amir Firdaus sanggup melayan kerenahnya yang agak shopaholic itu. Bekas teman lelakinya sebelum ini tidak suka melayan minatnya. Berjalan sekejap pasti dia akan diseret ke tempat lain. Tetapi Amir Firdaus lain. Walaupun penat, lelaki itu masih setia menemani. Malah, Amir Firdaus tidak jemu memberikan pandangan tentang setiap barang yang dipilihnya.
“Sebab tu lah you layak jadi model..” Kata Amir Firdaus.
“Hah? What do you mean? Layak jadi model..?” Soal Zarina kurang faham. Terasa pelik bila tiba-tiba Amir Firdaus ingin bercakap tentang dunia modellingnya sedangkan dia tahu Amir Firdaus tidak suka dia terlalu aktif dalam bidang itu. Malah, Amir Firdaus turut memintanya berhenti menjadi model bila mereka berkahwin kelak. Tetapi dia tidak sanggup. Dia bukan seperti Alfira yang hanya tahu menurut kata. Dia punya impian dan matlamat sendiri.
You suka shopping, jaga penampilan, cantik…sukakan fesyen, memang layaklah you jadi model
“Mestilah” Jawab Zarina bangga. Dia sudah acapkali dipuji begitu sejak dari kecil lagi. Dia bangga dilahirkan sebagai Nur Zarina Shazrin Datuk Lokman.
Ketika Zarina sibuk memilih tali pinggang yang digemarinya Amir Firdaus hanya memandang. Dia lebih selesa duduk di sofa yang ditempatkan didalam butik mewah itu kerana kakinya juga terasa lenguh. Sesekali dia menggelengkan kepala melihat telatah Zarina yang sangat cerewet dalam bermacam macam hal terutamanya tentang pemilihan pakaiaan. Zarina tak seperti Alfira yang sangat berserderhana dalam semua hal. Tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup saat nama tunangnya itu terlintas difikiran.
Masih jelas di igatannya saat dia meninggalkan Alfira keseorangan semalam. Bukan dia tak ingin mencari. Tetapi, dengan keadaan Alfira waktu itu, dia yakin Alfira akan menolak kehadirannya mentah-mentah. Hatinya sayu melihat air mata Alfira tetapi dia tidak mampu mengubah keadaan. Dia tak mungkin menjadi milik Alfira lagi walaupun dia masih sayangkan gadis itu. Cintanya pada Zarina sangat kuat.
Semalaman dia tidak dapat tidur bila dihambat rasa bersalah kepada Alfira. Dia ingin menghubungi Alfira tetapi dia tidak tahu kenapa setiap kali dia ingin berbuat demikian, tangannya seakan kaku. Dia rasa bersalah dan berdosa. Biarlah Alfira mengubati lukanya sendiri. Dia yakin Alfira akan tabah.
“Sayang..you ni berangan ke? Tak nampak ke I lambai tangan dekat you tadi? Mata you tengok I tapi otak dah pergi England..” Suara lunak Zarina mematikan lamunan Amir Firdaus tentang peristiwa semalam.
Amir Firdaus tersenyum. “Dah siap beli? Jom kita pergi makan. Perut I dah lapar ni” Tangan Zarina digenggamnya.
Amir cuba menyembunyikan rasa tidak enak yang bertamu di sudut hatinya. Dia masih teringatkan pertemuannya dengan Alfira semalam. Wajah Alfira yang ayu, senyumannya yang manis…segala-gala tentang Alfira masih sempurna dimatanya. Malah, gadis itu masih mampu menggetarkan hati lelakinya. Namun, dia tidak tahu mengapa rasa cinta yang telah bertahun bermukim di sudut hatinya itu begitu mudah pudar. Kalaulah Alfira tidak meninggalkannya dulu, mungkin mereka sedang meniti bahagia saat ini.
Amir Firdaus mengeluh kesal. Alfira tidak boleh menyalahkan dirinya sahaja atas keruntuhan cinta mereka. Dia lelaki…dia berhak untuk tergoda dengan mana-mana perempuan yang mampu mencairkan hatinya. Hakikatnya, dia sudah lelah menanti. Hidupnya yang sunyi dan kosong perlu diisi.
“You dah bagitau Fira pasal kita?” Soal Zarina ketika mereka masuk kedalam kereta.
“Dah..I dah bagitau dia semalam”
So..dia mcam mana? Dia cakap apa?”
“Dia nangis Rina. Dia susah nak terima. Tapi I yakin Fira tabah orangnya. Dia pasti boleh terima semua ni” Keluh Amir Firdaus. Kalau boleh, dia tidak mahu lagi mengingati wajah Alfira yang basah dengan air mata. Dia dihambat rasa bersalah. Dari dulu lagi dia tidak betah melihat gadis itu menangis.
“You cakap macam memuji dia je..macamlah I tak tabah. I pun tabah tau sebab sanggup buat hubungan sulit dengan you walaupun tahu you tu tunang orang. I tebalkan muka bila orang tuduh I perampas..” Protes Zarina. Dia tidak suka Amir Firdaus memuji Alfira dihadapnnya. Seingatnya belum pernah sekalipun Amir Firdaus mengutuk kelemahan tunangnaya itu walaupun mengaku sudah tidak menyintai Alfira.
“Hey..siapa cakap you tak tabah? I tahu dear. You sangat tabah sebab tulah I cintakan you sangat-sangat..”
I know it
“Kalau dah tahu, jangan persoalkan lagi hal ni. I akan tetap sayangkan you Rina..” Pujuk Amir Firdaus sambil menghidupkan enjin kereta. Zarina tersenyum manis. Puas hati dengan jawapan Amir Firdaus.


DATIN Faridah mengesat air matanya yang mengalir di pipi. Wajah pucat Alfira Hanim ditatap sayu. Begitu juga dengan wajah sugul Puan Hasnah. Sebaik mendapat panggilan telefon dari Puan Hasnah tadi, dia dan Datuk Ir. Suffian segera datang ke sini. Terkejut Datin Faridah  bila diberitahu Hajjah Kalsom mendapat serangan jantung dan ditempatkan di ICU. Dia rasa bersalah kerana membuatkan hati keluarga kecil itu tersayat dengan sikap anak sulungnya. Kalau apa-apa terjadi dengan Hajjah Kalsom, dia tidak akan maafkan Amir Firdaus. Anaknya sudah semakin melampau! Mengambil tindakan melulu tanpa memikirkan perasaan orang lain.
“Hasnah..kami minta maaf” Ujar Datuk Ir. Suffian. Datin Faridah disinya turut mengangguk.
“Datuk dengan Datin tak salah. Saya yang salah. Kalau saya berhati-hati bercakap tadi mungkin mak tak jadi macam ni. Dia tak boleh terima kejutan.”
Puan Hasnah mengesat air yang merembes keluar di tubir matanya. Sepatutnya dia beringat akan hal itu. Hajjah Kalsom tidak boleh menerima khabar buruk. Sewaktu melihat wajah anaknya yang pucat lesi dipimpin Nadia tengahari tadi dia jadi panik. Lebih-lebih lagi bila diberitahu yang Alfira pengsan kerana tekanan perasaan. Ketika Nadia sibuk bercerita tentang perihal Amir Firdaus dia terlupa yang ibunya itu turut mendengar. Dia hanya tersedar bila terdengar bunyi pinggan kaca jatuh berderai di dapur dan ibunya sudah terlantar kesakitan dengan nafas yang tercungap-cungap. Segera mereka bertiga membawa wanita itu ke sini.
“Semua ni salah Amir. Kalau dia tak buat macam ni, Hajjah takkan terkejut..maafkan kami Hasnah, Fira” Datin Faridah kesal dengan apa yang berlaku. Dipandangnya sayu wajah Alfira yang dari tadi hanya mendiamkan diri. Gadis itu bagaikan hilang suara. Tiada lagi senyuman manis yang sering menyejukkan hatinya.
“Fira,mama…”
“Mama tak salah. Fira faham mama. Fira tak boleh paksa perasaan Mir…” Alfira cuba menguatkan semangatnya untuk bersuara. Dia tidak mahu mereka sering menyalahkan diri sesama sendiri. Dia sudah tidak peduli lagi dengan hatinya yang remuk berkecai. Yang penting sekarang adalah nyawa neneknya. Dia tidak mahu lagi kehilangan orang yang dia sayangi. Cukuplah hanya Amir sahaja. Dia tak kuat mengharungi semuanya serentak.
“Maafkan mama, Fira. Maafkan mama kerana gagal mendidik Mir jadi lelaki yang berguna untuk Fira..” Datin Faridah memeluk Alfira Hanim. Betapa murninya hati gadis itu tetapi mengapa Amir Firdaus tidak tahu menilai?
“Saya janji Hasnah. Apapun rawatan yang akan diterima Hajjah, saya akan tanggung..”
“Tapi Datuk saya…”
“Saya ikhlas Hasnah.Saya dah lama anggap Fira ni macam anak saya. Awak dan Hajjah pun dah jadi sebahagian dari keluarga kami” Balas Datuk Ir. Suffian lagi.
“Terima kasih Datuk..” hanya itu yang mampu Puan Hasnah katakan. Dia tidak mampu berpikir apa-apa lagi. Nyawa ibunya lebih penting. Selama dia menjadi ibu tunggal, hanya ibunya sahaja yang dia ada untuk menemaninya dan memberi semangat untuk dia terus membesarkan Alfira Hanim tanpa suami disisi.
Ya Allah..selamatkan mak aku..” desis hati kecilnya.
Sebaik sahaja melihat pintu wad ICU dibuka, Puan Hasnah segera mendapatkan doktor yang merawat ibunya.
“Doktor macam mana dengan keadaan mak saya, Hajjah Kalsom?” Dia bertanya dalam nada suara yang sayu. Dadanya turut berdegup kencang. Dia sangat risaukan keadaan ibunya.
Alfira Hanim, Datuk Ir Suffian, Datin Faridah dan Nadia juga turut berada disinya.
“Bertenang Puan. Keadaan Hajjah Kalsom agak kritikal. Degupan jantungnya agak laju dan tekanan darahnya juga tinggi. Kami terpaksa lakukan pembedahan segera.” Jawab Doktor wanita yang memakai tag nama Aida itu.
“Segerakan pembedahan itu. Saya akan bayar..” Celah Datuk Ir Suffian.
“Esok pagi kami akan lakukan pembedahan. Diharap Tuan dan Puan semua bersabar. Kalau nak melawat, saya benarkan. Tapi saya minta kerjasama semua supaya tidak menganggu pesakit. Dia perlukan rehat yang cukup. Dia masih belum sedarkan diri”
Alfira Hanim sudah teresak esak menangis. Dipeluknya tubuh Puan Hasnah erat. Ya Allah, mengapa begitu berat dugaan yang terpaksa ditangungnya?
“Fira…”
Dada Alfira berdegup kencang saat namanya dipanggil. Dia kenal suara itu. Teramat kenal. Tetapi untuk apa lagi dia kesini?


Tuesday 3 April 2012

Novel Kerana Cinta Itu 4




AMIR Firdaus menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduannya. Alfira Hanim disebelahnya hanya mendiamkan diri. Sepi ! Itulah yang dirasakannya saat ini. Hendak memulakan bicara bibirnya seakan kaku. Dua tahun tidak bertemu sepatutnya banyak perkara yang boleh mereka bualkan, tetapi dia tidak tahu mengapa dia tidak mampu mengeluarkan walau sepatah ayatpun ketika ini.
Sesekali ekor matanya menjeling ke arah tunangnya disebelah. Cantik! Itulah ayat pertama yang terdetik dihatinya sewaktu melihat Alfira Hanim tadi. Dia tahu gadis itu memang cantik tetapi hari ini dia merasakan Alfira lebih cantik dari hari hari yang lalu. Dengan dress labuh berwarna biru laut, penampilan Alfira tampak anggun sekali. Bibirnya tersenyum sendirian mengingatkan betapa dia begitu gila bayang sewaktu pertama kali menatap wajah itu dulu.
Dia memakirkan kereta Honda City nya di tempat parkir kereta Taman Tasik Shah Alam. Sengaja dia memilih untuk makan di Restoran Tasik Indah yang seakan-akan terapung di tengah tasik Shah Alam itu. Dia tahu kesukaan Alfira yang gemar menikmati keindahan alam. Dulu, sewaktu mereka masih menuntut di UiTM Shah Alam, Taman Tasik Shah Alam ini selalu menjadi pilihan mereka untuk aktiviti beriadah. Kadang-kadang mereka datang berdua dan adakalanya bersama teman-teman yang lain. Yang pasti, tasik ini banyak menyaksikan memori indah antara mereka berdua.
Tanpa sepatah kata, Amir Firdaus turun dari kereta. Dibukakan pintu untuk Alfira Hanim dan gadis itu melemparkan senyuman manis untuknya. Terpana dirinya seketika. Lama diperhatikan wajah yang manis dengan senyuman itu. Sungguh dia sangat merindui Alfira tetapi mengapa hatinya tidak kuat untuk terus bersama tunangannya itu?
“Kenapa pandang Fira macam tu?” Soalan yang meletus dari bibir Alfira buat Amir kaget sebentar. Malu rasanya merenung Alfira begitu. Namun, semua itu berlaku di luar kesedarannya. Senyuman gadis itu buat dia rasa tidak berpijak di bumi nyata. Indah dan begitu memukau matanya.
“Err..Ehmm…jom kita masuk” Balas Amir Firdaus, cuba menutup kegugupan diri sendiri. Alfira sekadar menganguk. Senyuman manis masih meniti dibibirnya membuatkan Amir semakin disapa rasa debar.
Mereka beriringan masuk kedalam Restoran. Sudut penjuru restoran yang mengadap pancuran air ditengah tasik menjadi pilihan mereka berdua. Amir Firdaus sudah awal-awal lagi membuat tempahan makanan untuk mereka berdua malam itu. Sebaik mereka tiba, dua gelas orange juice sudah siap tersedia di atas meja.
“Mir nampak makin kurus. Kulitpun dah gelap sikit. Banyak main panas ya?” Teguran Alfira memecah kebisuan antara mereka berdua.
Sejak tadi dia mendiamkan diri kerana memberi peluang untuk Amir  memulakan bicara tetapi lelaki itu hanya membisu. Memikirkan mungkin Amir sedang memikirkan masalah yang dihadapinya, akhirnya Alfira mengalah. Sampai bila mereka harus meneruskan sesi pandang memandang tanpa sebarang kata? Dia mahu berbual dengan lelaki itu seperti dulu. Dia rindukan kemesraan yang pernah terjalin antara mereka berdua.
Malam itu, dia sengaja memilih baju lama yang dihadiahkan Amir Firdaus semasa hari lahirnya yang ke-21. Malah, petang tadi habis semua baju-baju di dalam almari digeledahnya. Dia mahu mencari baju yang terbaik untuk digayakan malam ini. Pertemuan pertama selepas dua tahun, dia ingin nampak cantik di mata Amir Firdaus. Biarpun dadanya ini  sarat dengan pelbagai persoalan tentang perubahan sikap Amir kebelakangan ini dia tetap ingin Amir berasa teruja saat melihatnya.
“Mir banyak kena keluar site. Itu yang hitam ni..”Amir Firdaus menjawab sambil tersenyum. Terserlah wajah tampan yang dimilikinya itu.
Alfira tersenyum. Masih membelek wajah tampan dihadapannya. Segenap ruang wajah itu ditatapnya puas-puas. Wajah lelaki inilah yang dirinduinya selama bertahun tahun. Setelah lama tidak bertemu, penampilan Amir tampak lebih kemas dan segak. Sesuai dengan kerjayanya sebagai Pengurus Besar di syarikat. Walaupun susuk tubuh lelaki itu sedikit susut berbanding dulu, namun tetap nampak sempurna di mata Alfira. Yang tidak berubah tentu saja renungan matanya. Panahan mata itu selalu membuatkan hatinya terasa berdebar debar seperti sekarang.
“Fira pun makin kurus je Mir tengok. Banyak kerja ya dekat sana? Atau Fira tak cukup makan ni?” soal Amir Firdaus. Direnungnya lagi wajah Alfira Hanim .Seperti dulu, dia tidak pernah jemu menatap wajah cantik itu. Dengan sepasang mata bundar dan bibir mungil itu, hati lelaki manalah yang tidak tertawan bila melihatnya. Namun, kecantikan Alfira sekarang takkan mampu mengubah pendiriannya. Dia sudah nekad dengan keputusannya.
“Taklah. Bukan sebab tak makan tapi sebab Fira rindukan Mir…” Perlahan nada suara Alfira Hanim tetapi tetap jelas dipendengaran Amir. Alfira menundukkan wajahnya. Entah mengapa,dia terasa malu pula mengungkapkan kata-kata itu dihadapan Amir Firdaus sedangkan sebelum ini dia tidak pernah pula rasa begitu. Mungkin kerana sudah terlalu lama mereka tidak bersua muka menyebabkan timbulnya rasa malu.
Amir Firdaus terdiam mendengar kata-kata yang baru dilafazkan Alfira sebentar tadi. Dia tahu tentang itu tetapi dia tidak tahu apa yang patut dijawabnya. Rindukah dia pada Alfira? Entahlah…dia tak mengerti tentang perasaannya sekarang. Mungkin ada sedikit kerinduan dihatinya dulu  tetapi rindu itu sudah lama terubat sebaik sahaja Zarina hadir dalam kehidupannya. Sejak itu, dia bagai melupakan kewujudan Alfira di hatinya. Gadis itu sudah makin jauh dari ingatannya.
Ketika pelayan datang menghantar makanan, mereka masih lagi mendiamkan diri. Amir meramas jari jemarinya. Melihatkan raut wajah Alfira yang masih menanti jawapannya, dia rasa bersalah. Dia tahu Alfira mahukan balasan ungkapan yang sama darinya. Dia mengerti tentang itu tetapi dia tak mampu untuk mengeluarkan sepatah ayatpun ketika ini. Lebih dari itu, dia khuatir kata-katanya nanti akan menghiris hati Alfira. Dia tak mahu menipu Alfira lagi. Cukuplah apa yang dilakukannnya selama ini.
Wajah Alfira ditatap lagi. Walaupun Alfira masih lagi mampu mempersonakan hatinya tetapi Zarina lebih dari itu! Dia cintakan Zarina sangat-sangat! Walaupun dia yakin pilihannya nanti akan melukai hati Alfira tetapi dia terpaksa. Perasaannya bukan boleh dipaksa. Kalau sudah begitu kehendak hatinya, dia tak mampu berbuat apa-apa. Memang rasa cinta untuk Alfira telah mati. Itu hakikat yang harus mereka terima.
“Mir tak rindukan Fira kan?” Soal Alfira setelah lama berdiam diri. Sedih kerana Amir Firdaus lansung tak membalas ungkapannya. Pilu kerana Amir tidak merasai apa yang dirasakan saat ini. Lelaki itu bagai tidak mahu berkongsi rasa yang sama lagi dengannya.
Amir Firdaus mengeleng-gelengkan kepalanya. “Mana ada..” Balasnya.
Dipandangnya jari jemari Alfira Hanim yang sedang bermain-main dengan sudu dan garfu. Ada cincin pertunangan mereka di jari manis gadis itu. Melihatkan cincin itu buat hati lelakinya diterpa rasa sayu. Alfira benar-benar menyintainya dan menjaga ikatan pertunangan antara mereka tetapi dia? Cincin pertunangan mereka yang tersarung dijarinya dulu telah lama ditanggalkan. Sejak bersama Zarina, dia sudah nekad menanggalkan cincin itu. Baginya, hubungannya dengan Alfira sudah berakhir dan kehidupannya bersama Zarina bakal bermula. Dia tidak tahu bagaimana untuk berterus terang dengan Alfira saat ini. Dia jadi takut untuk melukai hati sebaik Alfira.
“Makanlah..kenapa tak makan? Kan Fira suka nasi goreng paprik ni?” Soal Amir Firdaus. Pelik kerana dari tadi Alfira lansung tidak menjamah makanan. Dia hanya menguis-menguis makanan didalam pinggan. Alfira hanya menganggukkan kepalanya. Dia cuba menyuapkan makanan ke mulutmya. Namun, semuanya terasa tawar dan payah benar untuk ditelan. Dia tak punya selera untuk makan.
Alfira menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Hatinya benar-benar bimbang kala ini. Dia rasa tidak sedap hati. Kelakuan Amir tidak seperti dulu. Malah kata-kata yang keluar dari bibir lelaki itu dingin dan kaku. Amir Firdaus sudah jauh berubah! Malah Alfira perasan lelaki itu tidak lagi memakai jam tangan yang dihadiahkannya semasa hari pertunangan mereka dulu. Lebih mengejutkan bila melihat cincin pertunangan mereka juga sudah tiada di jari manis Amir. Sebaknya datang tiba-tiba. Dadanya turut bergetar hebat. Apakah Amir benar-benar telah melupakan dirinya?
“Mir nak bagitau apa dengan Fira? “ Soal Alfira. Ada getar dari nada suaranya. Dia tak mampu lagi untuk terus menunggu. Dia mahukan penjelasan Amir tentang semua persoalannya selama ini dan dia yakin lelaki itu punya jawapannya.
Amir Firdaus melepaskan nafas berat. Dirautnya rambutnya kebelakang. Patutkah dia berterus terang? Dengan keadaan Alfira sekarang, dia pasti hati tunangannya itu akan terluka teruk. Tapi jika tidak diberitahu, tentu dia terpaksa mengahwini Alfira sedangkan dia tidak lagi menginginkan Alfira sebagai suri di hatinya. Hanya Zarina yang diinginkannya. Dia tidak boleh terus menerus menipu Alfira tentang perasaannya kini.
“Susah Mir nak cakap..Mir takut Fira tak dapat terima..”Luah Amir perlahan.
“Maksud Mir? Cakaplah…Fira nak tahu…” Kata Alfira sedikit menggesa. Debaran di dadanya sudah semakin kuat. Tubuhnya juga sudah terasa sejuk. Hatinya terasa kurang enak. Bagai ada sesuatu yang buruk bakal menimpanya. Alfira menelan liur sendiri. Wajah Amir dipandangnya tanpa kelip.
“Mir nak kita putuskan pertunangan kita..”
Berdenting bunyi sudu dan garfu terjatuh di atas pinggan saat Amir Firdaus usai meluahkan kata-kata. Alfira Hanim Benar-benar tergamam. Lidahnya jadi kelu tiba-tiba. Ya Allah..petaka apakah ini? Dadanya sudah terasa berombak ganas.
“Mir minta maaf Fira. Mir yang salah. Mir dah ada orang lain…”
Alfira Hanim masih juga seperti tadi. Diam. Wajahnya tidak berganjak lansung dari memandang Amir Firdaus. Jantungnya makin berdegup laju. Dia cuba mempercayai apa yang diungkapkan Amir Firdaus ketika ini. Benarkah atau dia yang tersalah dengar? Tubuhnya sudah terasa seram sejuk.
“Mir tak boleh tipu diri Mir. Mir tak cintakan Fira lagi. Mir minta maaf. Perkahwinan kita tak boleh diteruskan..Mir janji akan tanggung semua kos persiapan perkahwinan kita. Mir akan bayar balik semuanya….” Amir Firdaus bagai mendapat kekuatan untuk terus bersuara bila melihat Alfira hanya mendiamkan diri.
“Mir dah cuba tetapkan hati Mir pada Fira sahaja..Tapi Mir tak boleh. Cinta untuk Fira dah lama tak ada. Jiwa Mir dah kosong. Mir rasa bersalah sangat. Maafkan Mir…Mir tak setia dengan Fira”
Alfira Hanim memejamkan matanya. Setiap kata-kata yang keluar dari bibir Amir bagaikan belati tajam yang menusuk jantungnya. Pedih dan menyakitkan. Dia berharap dia akan segera terjaga dari mimpi ngerinya saat ini. Dia tak mahu mimpi itu terus menghantui perasaanya. Namun bila mata dibuka, wajah Amir juga yang dilihatnya. Pipinya dipegang dan dicubit. Sakit! Dia tak bermimpi! Apa yang dikatakan Amir itu benar belaka. Semuanya benar!
“Soal hati dan perasaan tak boleh dipaksa. Memang kita dah bersama selama tujuh tahun. Bagi Mir, kita memang tak ada jodoh…..”
Semakin banyak Amir berkata-kata, semakin pedih hatinya ini. Sebaknya bertandang tanpa disuruh. Empangan air matanya tunggu masa sahaja mahu pecah. Dia tidak kuat untuk menerima semua ini. Kepalanya terasa berpusing-pusing. Pening dan sakit. Nafasnya juga sudah makin tidak teratur. Sesak! Pantas dia bangun dari kerusi. Dia tak betah lagi untuk terus berada di situ. Tanpa sepatah kata, dia berlalu pergi dari situ tanpa sempat dihalang Amir.
“Fira!” Jerit Amir Firdaus lantang. Terkejut dengan perlakuan tiba-tiba Alfira.
 Dia memanggil lagi namun hampa bila Alfira Hanim lansung tidak mahu menoleh malah makin laju pula berjalan. Kelam kabut Amir Firdaus membuat pembayaran di kaunter sebelum mengejar Alfira. Tangan gadis itu ditariknya. Ingin menghalang Alfira dari terus melangkah. Namun seraya wajah cantik itu ditatapnya, dia tergamam. Hiba rasanya bila melihat wajah Alfira yang sudah basah dengan air mata. Sendu tangis yang kedengaran benar-benar meruntun perasaannya. Ya Allah..apa yang dilakukannya ini? Alfira nampak terluka benar. Telahannya bahawa gadis itu akan tabah dengan keputusannya ternyata salah sama sekali. Hakikatnya, Alfira amat terluka. Rasa bersalah mula menghimpit dirinya.
Alfira segera menarik tangannya dari pegangan Amir Firdaus. Wajahnya segera dialihkan dari terus ditatap Amir Firdaus. Air mata yang tidak putus putus menghujani pipinya dikesat. Bibirnya diketap kuat, menahan rasa sakit dan geram.
“Fira,Mir…….” Amir cuba menarik tangan Alfira kembali namun cepat ditepis Alfira.
“Jangan sentuh saya!” Kasar kedengaran suara Alfira. Terdiam Amir dibuatnya. Dia jadi bersalah kerana membiarkan hati gadis itu terguris tetapi dia tidak berdaya untuk mengubatinya. Kalu dulu, dia tidak pernah membenarkan hatta setitispun airmata gadis itu tumpah tapi sekarang? Dia sendiri yang menjadi punca Alfira menangis!
“Mir hantar Fira ya? Please….jangan buat macam ni. Mir risaukan keselamatan Fira” Pujuk Amir Firdaus lembut. Tangan gadis  itu kembali dipegang kejap.
Hakikatnya dia sendiri tak cukup kuat untuk melihat air mata yang mengalir keluar dari mata bundar itu namun apakan dayanya. Pendiriannya hari ini adalah untuk kebaikan mereka bersama. Dia tak mahu membina mahligai yang kosong isinya. Alfira patut faham akan hal itu.
“Lepaskan Fira!” Jerit Alfira Hanim lantang.
Alfira meronta-ronta minta dilepaskan. Dia tidak mahu mendengar lagi suara Amir Firdaus. Dia mahu segera pergi dari situ. Dia tak mahu terus dihantui dengan kata-kata yang diungkapkan lelaki itu sebentar tadi.  Sakitnya sudah tak tertanggung.
Sebaik sahaja berjaya melepaskan diri dari pegangan Amir Firdaus dia cepat-cepat belari laju meredah kegelapan tasik itu. Dia tak tahu mahu berlari kemana, yang dia tahu dia mahu pergi jauh dari Amir. Dia mahu lari dari kenyataan yang amat payah untuk ditelannya! Air matanya yang laju mengalir menuruni pipi dibiarkan. Dia tidak mahu menoleh kebelakang lagi walaupun suara Amir Firdaus nyaring memanggil namanya. Dia terus berlari dan berlari tanpa arah tujuan membawa  bersama hatinya yang sudah hancur luluh. Alfira meraung kesedihan….Ya Allah…petaka apakah ini? Rintih hatinya sayu sebelum dia terjelepok jatuh ditepi tasik itu. Dia menangis teresak esak di situ juga.


NADIA sudah naik buntu untuk memujuk Alfira. Dari mula Alfira tiba dirumahnya, air mata gadis itu tidak henti-henti mengalir. Wajah Alfira sudah sembab dek tangisan yang terlalu banyak. Alfira hanya memintanya menghubungi ibunya memberitahu dia bermalam dirumahnya. Itu sahaja! Apabila ditanya, Alfira hanya mendiamkan diri. Nadia benar-benar risau. Selalunya, Alfira tidak pernah begini. Gadis itu kelihatan bagaikan hilang arah tuju. Tampak bingung dan buntu.
Nadia membawa Alfira kebiliknya. Dibaringkan Alfira dikatil bujangnya. Sejuk terasa saat dia tangan itu disentuhnya. Tadi, ketika Alfira menelefon untuk meminta mengambilnya di Taman Tasik Shah Alam, Nadia jadi panik. Dengan suara yang dikaburi tangisan dia yakin ada sesuatu yang buruk telah berlaku kepada sahabat karibnya itu.
Bergaduh dengan ibunya kah? Telah Nadia.
Tapi mana mungkin! Alfira manja dengan ibunya atau…..dengan Amir Firdaus!
Kali ini Nadia yakin dengan telahannya. Pasti kerana Amir Firdaus. Nadia menyelimutkan Alfira yang sudah terlena bersama air mata yang masih bersisa dipipinya. Dia jadi simpati. Biarlah Alfira menangis sepuasnya. Selepas ini dia yakin Alfira akan menceritakan masalah yang membebani fikirannya itu apabila dia benar-benar bersedia.
Nadia melangkah keluar dari bilik itu. Tidak mahu menganggu lena Alfira Hanim. Dicapainya telefon bimbitnya untuk menghubungi ibu Alfira. Tidak lama menunggu, panggilannya berjawab.
“Assalammualaikum makcik. Nadia ni”
“Waalaikummussalam Nadia. Bila nak datang rumah makcik ni? Dah lama kita tak jumpa” Balas Puan Hasnah ceria.
“Esok Nadia datang. Hantarkan Fira”
“Fira ada situ? Bukanke dia keluar dengan Mir tadi? Macam mana pulak boleh ada dekat situ?” Soal Puan Hasnah bimbang.
“Makcik jangan risau. Dia saja je singgah nak jumpa saya. Lepas tu dia terlena. Saya kasihan nak kejutkan dia. Esok saya hantar dia balik. Lagipun esok saya tak keja. Cuti.” Nadia terpaksa berbohong kerana Alfira sudah awal-awal lagi berpesan jangan biarkan emaknya risau.
Kali ini Nadia yakin memang Amir Firdaus yang menjadi punca Alfira menangis teruk. Lelaki itu memang kurang ajar! Tidak tahu menjaga hati tunang sendiri. Nadia jadi geram.
“Fira Ok tak tu?” Soal Puan Hasnah lagi.
“Fira Ok..dia leka sangat bersembang dengan saya sampai tertidur. Makcik jangan risau”
“Takpelah macam tu. Terima kasihlah Nadia tolong tengok tengokkah Fira tu. Seronok sangat jumpa tunang dia sampai taknak balik rumah. Mesti suka hati sangat bercerita pasal Mir tu..” Puan Hasnah ketawa dihujung talian.
Nadia mendiamkan diri. Kalaulah makcik tahu…Makcik takkan sanggup lihat keadaan Fira sekarang. Dia benar-benar terluka makcik!. Detik hatinya.
“Esok Nadia makan dekat rumah makcik tau. Makcik masak special untuk Nadia” Kata Puan Hasnah lagi.
“Baiklah makcik. Maaflah ganggu makcik malam-malam macam ni. Kita jumpa esok ya.”
“Tak ada menganggunya. Makcik tengah tengok TV je ni. Selamat malam Nadia”
“Selamat malam makcik..” Nadia mematikan talian telefon.
Hatinya masih bimbang dengan keadaan Alfira. Dia memasuki biliknya. Alfira masih memejamkan mata tetapi dahi gadis itu dilihat berkerut kerut. Sekejap sekejap kepalanya bergerak ke kiri dan ke kanan.
“Mir..Mir..jangan tinggalkan Fira..” Dalam tidurnya, Alfira mengigau menyebut nama Amir Firdaus.
“Mir..Mir..jangan tinggalkan Fira” Perkataan itu diulang lagi.
Terkejut Nadia mendengar kata-kata Alfira dalam mamainya itu.
Mir tinggalkan Fira?
Apa yang sudah berlaku?
Minda Nadia terus diasak dengan pelbagai persoalan sehingga akhirnya dia juga turut terlena disisi Alfira.

Novel Kerana Cinta Itu 3




“APAPUN jadi, saya tetap nak Fira tu jadi menantu saya. Budak Amir ni dah melampau betul! Geram saya dibuatnya abang” Datin Faridah melepaskan rasa tidak puas hatinya. Diurutnya dada yang mula bergetar hebat. Kemarahannya sudah setahap gunung berapi. Tunggu masa saja mahu meledakkan laharnya.
            Datuk Ir. Suffian hanya mengelengkan kepala melihat tingkah isterinya itu. Sejak dari tadi isterinya itu tidak henti-henti bercakap. Dari mereka di butik pengantin, di dalam kereta sampailah sekarang, di rumah ini, mulut wanita itu bagaikan bertih jagung. Berleter sahaja. Panas jugak telinganya mendengar. Hendak menegah, takut merajuk pula Datin Faridah. Sudahlah sekarang ini isterinya sedang melancarkan perang dingin dengan Amir Firdaus. Silap percaturan, mungkin dia juga akan menerima nasib yang sama seperti anak lelakinya itu. Datuk Ir. Suffian mengeluh kurang senang.
            “Kalau dah Mir tak nak, kita nak buat apa lagi Idah? Takkan nak paksa pulak. Dia yang nak kahwin. Bukannya kita” Balas Datuk Suffian cuba mententeramkan hati isterinya yang sedang marak dengan api kemarahan.
Bukan dia membela tindakan gila Amir Firdaus itu, tetapi sebagai ketua keluarga, kemarahan bukanlah jalan penyelesaiannya. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia keruh. Setiap masalah pasti ada jalannya. Mereka tak boleh terlalu emosional begini.
“Abang! kita tak pernah paksa dia tau kahwin dengan Fira. Fira tu dia yang pilih . Dia yang beria-ria nak beristerikan si Fira tu dulu. Sekarang, bila kita dah suka, dah sayang dekat budak tu, dia pulak buat macam ni. Anak awak tu memang dah hilang akal gamaknya.. ” Balas Datin Faridah.
Matanya di lemparkan ke luar balkoni rumah. Sakit hatinya bila mengingatkan perangai Amir yang bagai lepas tangan. Penat dia ke hulu hilir menguruskan majlis pernikahannya dengan Alfira, anak sulungnya itu lansung tak pernah nak ambil peduli. Disangkakan Amir sibuk dengan kerjanya, rupa-rupanya anaknya itu sedang seronok bersuka ria dengan perempuan lain. Patutlah bila dia asyik bertanya tentang majlis kahwin mereka, Amir selalu saja mengelak. Dah ada penganti Alfira rupanya. Datin Faridah mengetap bibirnya menahan geram di hati.
“Ya..abang tahu kita tak pernah paksa dia. Tapi sekarang awak nak buat apa? Awak bising-bising macam ni bukan jadi apapun Idah. Anak kita tu, sampai nak jejak kaki ke rumah ini pun taknak. Semuanya sebab mulut awak tu. Cuba bawa bersabar sikit” Datuk Suffian masih cuba berdiplomasi. Bertahun hidup sebumbung dengan isterinya itu, dia kenal sangat sikap Datin Faridah yang mudah naik marah. Pantang ada perkara yang tidak disukainya, tentu berjela leteran yang keluar dari mulutnya. Pening kepala juga dibuatnya. Tetapi disebabkan sayangkan isteri, dilayankan saja apa yang dikatakan isterinya itu.
Datin Faridah yang sedari tadi berjalan-jalan di tengah ruang tamu rumah mereka mendekati suaminya. Dia melabuhkan pungungnya disebelah Datuk Ir. Suffian. Bibirnya melepaskan keluhan.
“Saya marah sangat abang. Rasa nak bagi penampar dekat Mir tu pun ada. Elok sangat dia tak balik sini. Kalau tak, teruk saya kerjakan. Eiii…geramnya saya” Datin Faridah berkata sambil menggengam tangannya kuat. Cuba melepaskan rasa geramnya di situ. Marahnya terasa membuak-buak. Ikutkan hati mahu saja ditampar tampar pipi anaknya itu sepuas hati. Biar fikiran anaknya yang sudah rosak itu cepat pulih. Gila ke apa nak batalkan perkahwinan yang cuma tinggal kurang dari dua bulan? Lebih menyakitkan hati bila Amir sesuka hati ingin menukar pengantin perempuannya. Ingat ini cerita dalam filem ke main suka hati nak tukar-tukar? Jangan harap dia akan terima perempuan lain selain Alfira! Amir perlu langkah mayatnya dulu kalau nak perkara itu berlaku!
“Hisy..awak ni Idah. Cuba bawak beristigfar sikit. Jangan biar rasa geram menguasai diri. Kalaupun kenduri tu tak jadi, saya dah tak malu dah apa orang sekeliling nak cakap.” Kata Datuk Ir. Suffian. Bukannya dia tidak kisah, tapi apa dayanya nak memaksa Amir Firdaus? Dia tidak mahu Amir mensia-siakan hidup Alfira selepas mereka berkahwin kelak. Alfira terlalu baik untuk menerima lelaki curang seperti anaknya. Dia tak  mahu Amir menghancurkan kebahagiaan Alfira.
“Abang, saya tak kisah tanggung malu kalau kenduri tak jadi tapi saya kisahkan perasaan Fira tu. Kesian dia abang. Sudahlah tak ada ayah, sedara mara pun tak ramai. Ada mak dengan nenek dia saja. Sekarang, Mir buat macam ni pulak dekat dia. Fira tu sayang dan percaya betul dekat Mir tu….saya tak boleh terimalah semua ni” Akhirnya, tumpah juga air mata Datin Faridah. Dia sangat kesal dengan sikap anak lelakinya itu. Apa dia ingat hati perempuan ini mainan? Boleh dimainkan sesuka hati. Bila nak, ambil, taknak dibuang macam tu saja. Sungguh tidak matang pemikiran Amir Firdaus!
Datuk Ir. Suffian mengusap-ngusap bahu isterinya. Cuba mententeramkan hati Datin Faridah yang penuh kesedihan. Dia turut terkilan dengan sikap Amir Firdaus. Sudah dapat gadis sebaik Alfira tetapi masih mencari yang lebih sempurna. Entahkan kaca atau permata dia tidak tahu. Melihatkan gaya Zarina saja dia memang tidak berkenan. Tetapi, kalau sudah itu yang dimahukan Amir, bagaimana lagi dia mahu menghalang? Perkahwinan bukan boleh dipaksa. Biarlah masjid yang dibina itu atas kerelaan masing-masing.
“Idah, apa yang mampu kita buat sekarang hanyalah berdoa. Kita minta Allah lembutkan hati Amir untuk terima Fira dalam hidup dia” Datuk Ir. Suffian mengelap titisan airmata di pipi isteri kesayangannya itu.
Hati Datuk Ir Suffian turut sebak. Seperti Datin Faridah, dia turut menginginkan Alfira sebagai menantu. Bukan kerana kasihan tetapi mereka sudah lama mengangap Alfira sebagai anak sendiri, lebih lebih lagi mereka tidak mempunyai anak perempuan. Anaknya, ketiga-tiganya lelaki. Aizul Ikhwan, anak keduanya masih belajar di United Kingdom dan anak bongsu mereka Airil Akhmar pula baru tamat SPM. Yang sering bersama mereka sekarang hanyalah Amir Firdaus. Malah lelaki itu jugalah yang diharapkan untuk membantu urusannya di pejabat. Dia tak mahu hubungan mereka anak beranak berantakan hanya kerana perkara ini.
Datin Faridah hanya mampu menganggukkan kepala.Ya! Itulah doanya setiap kali usai solat. Selagi diberi kesempatan untuk hidup, dia takkan putus asa untuk berdoa dan mengharapkan kasih dua insan itu kembali bertaut. Naluri keibuannya yakin Amir memang ditakdirkan untuk Alfira. Bukan Zarina atau siapa-siapa.
Hanya Alfira Hanim!


ALFIRA Hanim leka memandang dulang hantaran perkahwinan yang telah siap digubah ibunya. Cantik dan kreatif! Detik hatinya. Puan Hasnah tersenyum memandang anak gadisnya yang tekun meneliti hasil kerja tangannya.
“Mak nak buat tiga belas hantaran untuk pihak kita nanti” Kata Puan Hasnah.
“Banyaknya mak. Tak membazir ke?” Soal Alfira sedikit terkejut dengan kata-kata ibunya. Fikirnya hanya mahu membuat hantaran dalam tujuh atau sembilan dulang sahaja. Baginya, itu sudah cukup. Lagipun dulu dia pernah membincangkan perkara ini dengan Amir dan lelaki itu tidak kisah.
“Apa pulak membazirnya. Semua barang-barang hantaran tu boleh pakai. Baju, skincare, sejadah, semua itukan Mir boleh guna nanti. Mirpun dah lama mak anggap macam anak sendiri. Biarlah kita bagi lebihpun. Lagipun ini kenduri pertama dan terakhir keluarga kita. Lepas ni tak ada lagi. Tak salahkan kalau mak nak buat meriah sikit” Puan Hasnah menjawab. Gunting disebelahnya dicapai untuk memotong tali ribbon yang digunakan untuk mnghias bakul hantaran.
Memang itu hasrat Puan Hasnah dari dulu. Alfira Hanim satu-satunya harta yang dia ada. Amanat terakhir yang ditinggalkan suaminya untuknya. Dia mahukan yang terbaik buat anaknya itu. Biarpun majlis perkahwinan itu nanti tidak sehebat perkahwinan yang diadakan di sebelah keluarga Amir, tetapi dia mahu kemeriahan itu tetap ada. Sekurang kurangnya dia telah cuba memberikan yang terbaik untuk anak gadisnya itu.
“Pandai mak pilih warna dulang hantaran ni. Hijau. Fira suka sangat-sangat!”
“Mestilah. Mak tahu apa yang anak mak suka”
“Fira sayang mak!” Ujar Alfira Hanim lantas pipi Puan Hasnah diciumnya. Puan Hasnah ketawa kecil dengan perlakuan mesra anaknya itu. Sejak dulu, itulah yang kerap dilakukan Alfira. Sebagai ibu, dia rasa cukup terharu.
“Mak pun sayangkan Fira tau. Hmmm..bila Fira nak pergi beli cincin dengan Mir?” Soal Puan Hasnah tiba-tiba. Baru dia teringat tentang cincin pernikahan anaknya yang belum lagi dibeli.
Terdiam Alfira saat mendengar pertanyaan ibunya. Sudah seminggu dia pulang, tetapi Amir Firdaus lansung tidak menghubunginya. Mereka belum lagi berkesempatan untuk bersua muka. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk menemui Amir, malah sudah acapkali. Tetapi panggilannya lansung tak berjawab. Sudahnya, dia jadi malas sendiri. Terasa diri pula yang terhegeh hegeh. Tunangnya itu bagai tidak sudi menemuinya. Sibuk sangatkah Amir sampai tak ada masa lansung untuknya? Takkanlah seminit pun tak ada untuk menghubunginya?
“Entahlah mak. Mir macam tak sudi nak jumpa Fira je…macam mana nak pilih cincin bersama, jumpa dia pun belum. Mir memang busy sangat ke mak?” Soal Alfira. Sungguh dia jadi pelik dengan kebisuan Amir sekarang. Bagai ada yang tidak kena dengan lelaki itu. Tetapi tentang apa, dia tak dapat pula hendak meneka.
Puan Hasmah yang sedari tadi sibuk mengubah bakul hantaran menghentikan perbuatannya. Wajah sedih Alfira dipandangnya. Bukan Alfira sahaja, dia juga turut perasan akan perubahan sikap Amir Firdaus. Lelaki itu sudah lama tidak bertandang kerumahnya. Walaupun sekali sekala Amir Firdaus ada menelefon bertanyakan khabarnya dan Hajjah Kalsom tetapi Amir lansung tidak pernah menyebut tentang persiapan perkahwinannya dengan Alfira. Bila ditanya, pasti ada sahaja alasannya untuk mengelak dari membincangkan perkara itu.
“Fira tak tanya Datuk dan Datin?” Soal Puan Hasnah pula.
“Fira tak larat dah nak tanya mak. Cukuplah sekali dua Fira bertanya. Nanti apa pulak kata Datuk dan Datin. Entahlah mak. Fira rasa tak sedap hati je sekarang. Macam ada yang tak kena”
“Maksud Fira?”
“Mak, Mir masih sayangkan Fira ke?” Mata Alfira Hanim sudah berkaca saat soalan itu terlontar dari bibirnya. Sejak dari di KLIA, itulah soalan yang berlegar-legar dimindanya. Amir Firdaus terlalu banyak berubah. Dulu sebelum dia berangkat ke Jerman, sesibuk manapun lelaki itu, masa untuknya tetap ada. Pernah sekali Amir Firdaus sanggup ponteng kerja semata-mata ingin bertemu dengannya. Tapi sekarang untuk bermesej dengannya pun Amir tak mampu, apatah lagi untuk bertemu.
Alfira Hanim melepaskan nafas berat. Dia cuba memikirkan yang baik-baik sahaja tentang tunangnya itu tetapi sekarang emosinya makin terganggu.
Tidak rindukah Amir Firdaus padanya?
“Fira..mak faham perasaan Fira. Sebulan je lagi nak kenduri. Cubalah bawa berbincang dengan Mir. Mungkin dia ada masalah sekarang. Sebab tu dia tak dapat jumpa Fira”
“Kalau dia ada masalah, dia patut beritahu Fira. Fira ni tunang dia mak. Selama ni dia tak pernah buat Fira macam ni. Tak pernah berahsia pun. Tapi sekarang dia terlalu banyak berubah. Tiga tahun Fira rindukan dia, tapi sia-sia je mak. Dia tak fikirkan perasaan Fira lansung” Protes Alfira. Dia cuba menahan air matanya daripada gugur. Perasaannya jadi makin sensitif pula sekarang.
“Fira sabarlah nak...nanti mak try bincang dengan Datuk dan Datin. Mungkin Mir tu ada masalah. Datin cakap Mir dah tak tinggal dekat rumah mereka lagi. Dia dah pindah PJ”
Alfira Hanim memandang wajah ibunya. Dahinya berkerut sedikit.
Pindah?
Dia masih ingat lagi rumah banglo dua tingkat yang dibeli Amir Firdaus sebagai persediaan tempat tinggal mereka bila berkahwin kelak. Tiba-tiba sahaja dia mengukir senyuman. Wajahnya yang tadi mendung sudah bertukar ceria. Dia pasti dengan telahannya kali ini.
“Mak..agaknya Mir sibuk hiaskan rumah kami tak? Dia nak bagi surprise dekat Fira. Sebab tu dia tak jumpa Fira kan?” Kata Alfira penuh yakin. Dia masih ingat tentang rumah banglo dua tingkat itu. Malah, mereka sama-sama melihatnya sebelum dia bertolak ke Jerman. Nampaknya, rumah itu telah siap di bina sepenuhnya. Kalau tidak, masakan Amir telah berpindah masuk ke sana.
Puan Hasnah hanya mengangukkan kepala, cuba membuang rasa tidak enak dihatinya. Seperti Alfira Hanim, dia juga tidak mudah melatah dengan keadaan. Menjadi ibu tinggal sejak Alfira berusia lima tahun banyak mematangkan dirinya dalam menempuhi ranjau kehidupan. Ketabahan yang dibina bukan sedikit.
“Nanti lepas kahwin Fira akan duduk situ dengan Mir. Betul jugak kata Fira tu. Kalau tak, takkan Mir nak pindah masuk rumah dekat PJ tu kan?”
“Mir ni….suka buat Fira risaukan mak. Tapi takpelah, kalau pasal rumah tu yang dia sibuk sangat Fira tak kisah tapi takkanlah sampai taknak jumpa Fira. Takpelah mak, nanti Fira try call dia lagi..” Alfira mengukirkan senyuman. Dia berharap  telahannya kali ini benar.
“Dah. Jangan sedih-sedih lagi. Nanti hilang seri pengantin tu….takpelah kalu Mir tak dapat temankan Fira tengok cincin tu. Mak dengan Datin kan ada. Lagipun kami lebih tahu pasal cincin dari Mir tu….mak tahu nilai cantik atau tak cincin tu” Pujuk Puan Hasnah lagi. Lega hatinya bila Alfira hanim sudah kembali ceria.
Ish mak ni..kesitu pulak. Fira tak kisahlah pasal cincin tu cantik atau tak. Yang penting Fira pilih sama-sama dengan Mir. Lagipun, itukan cincin kahwin kami? Tapi takpelah..Fira ikut je apa kata mak dengan Datin nanti” Akhirnya, Alfira akur dengan cadangan ibunya.
Tiba-tiba Alfira mendengar telefon bimbitnya nyaring berbunyi. Dia yang berada diruang tamu ketika itu berlari masuk kedalam bilik untuk mendapatkan telefon bimbitnya.
Melihatkan nama Amir Firdaus tertera di skrin telefon, Alfira tersenyum suka hati. Akhirnya, Amir menghubunginya juga! Dengan penuh debaran, panggilan itu dijawabnya.
“Assalammualaikum Mir…” Lembut Alfira memberi salam.
“Waalaikummussalam…Fira sihat? Mak dengan nenek macam mana?”Jawab Amir Firdaus. Terasa lunak pula suara Alfira ditelinganya. Suara yang selalu menjadi igauan mimpinya suatu ketika dulu.
“Alhamdulillah….Fira sihat. Mak dengan nenek pun sihat. Mir apa khabar?” Balas Alfira. Setelah enam bulan tidak berbual ditelefon, dia jadi gugup sedikit. Akhirnya, terlepas juga rindu yang mengasak dadanya selama ini bila mendengar suara Amir Firdaus. Sungguh! Dia sangat merindui lelaki itu. Terasa mahu berlinang air matanya kerana terlalu teruja mendengar suara lelaki itu. Hatinya jadi sebak. Tidak menyangka Amir akan menghubunginya hari ini. Sesuatu yang dia nantikan sejak dulu lagi.
“Mir sihat. Sorry tak dapat jemput Fira hari tu. Mir ada keja” Suara Amir Firdaus kedengaran mendatar di hujung talian.
“Takpe. Mak dah bagitau hari tu Mir pergi Kuantan. Ehm..Mir, Fira…Fira rindu sangat –sangat dekat Mir. Selalu Fira mesej dan call Mir tak jawab pun. Mir buat Fira ni macam tak penting. Kenapa? ”
Hmm….Fira, Mir ada masalah ni. Ada hal mustahak yang nak bincang dengan Fira” Tenang sahaja suara Amir Firdaus kali ini. Lansung tidak menjawab pertanyaan Alfira tadi.
“Hal mustahak? Kalau Mir ada masalah kenapa taknak kongsi dengan Fira? Patutla Mir diam je selama ni. Contact Fira pun tak. Rupanya tanggung masalah sorang-sorang” Balas Alfira sedikit merungut.
“Mir minta maaf. Mir sibuk sangat sekarang. Bila Fira free? Kita jumpa? Mir nak bincang hal ni dengan Fira” Balas Amir pula.
“Pasal apa Mir? Pasal kita ke?” Soal Alfira penuh tanda tanya.
A’ah..pasal kita”
“Hal perkahwinan kita ke?” Soal Alfira lagi.
“Ya..” Ringkas jawapan Amir Firdaus.
“Fira free je. Mir nak datang rumah ke?”
“Tak..kita bincang dekat luar. Mir datang ambil Fira malam ni Okey? Pukul 8 malam.”
“Ok..”
“Jumpa malam nanti..bye..” Lantas panggilan telefon terus dimatikan. Cepat sekali tanpa sempat Alfira membalasnya. Alfira Hanim sedikit kecewa dengan cara Amir menamatkan perbualan. Tiada lansung kata rindu dan cinta dari lelaki itu. Bercakap pun bagai tergesa-gesa. Apa masalah Amir sebenarnya?
“Siapa call tadi?” Soal Puan Hasnah sebaik melihat kelibat Alfira diruang tamu.
“Amir..”Jawab Alfira ringkas. Wajahnya tidak lagi seceria tadi.
“Hah..baguslah tu. Dia dah call Fira kan. Dia nak datang ke?” Soal Puan Hasnah lagi.
Alfira hanya menganggukkan kepala. Telefon bimbit yang masih berada ditangan dibeleknya. Seakan tidak percaya dengan sikap Amir sebentar tadi. Amir bagaikan orang lain. Cara Amir lansung tak menunjukkan kemesraan. Bagaikan mereka berdua tidak punya hubungan mesra.
“Kenapa ni? Mir dah call pun Fira muram lagi” Tegur emaknya.
“Mir cakap ada hal mustahak nak bincangkan. Pasal hal kami berdua..”Balas Alfira. Dia rasa tidak sedap hati sekarang. Lebih-lebih lagi dengan perlakuaan Amir Firdaus ketika bercakap di telefon tadi.Tiada kemesraan lansung!
“Dia nak bincang pasal persiapan perkahwinan lah tu. Apa yang nak dirisaukan sangat”
“Iya mak, tapi hati Fira ni rasa tak sedap je. Macam, ada yang tak kena..”
“Dah, dah jangan fikir-fikir lagi. Yang penting Fira jumpa Mir kan. Bila dia nak datang?”
“Malam ni. Dia nak bawa Fira keluar ” Balas Alfira.
“Elok sangatlah tu…bincanglah apa yang patut. Kenduri pun dah nak dekat ni. Sebelah Mir tu mungkin dah settle. Datuk upah orang je buat. Sebelah kita ni yang tak setlle-settle lagi.”Kata Puan Hasnah.
Alfira Hanim hanya mampu menganggukkan kepala. Dadanya makin berdebar-debar untuk bertemu tunangnya malam ini. Risau memikirkan hal mustahak yang dikatakan Amir.