Friday 23 March 2012

Novel Kerana Cinta Itu 1


BAB 1


Alfira Hanim sayang…
Bagiku..kaulah segalanya,
Untukku…kaulah ratu dihati ini,
Yang menemani tiap tawa dan tangisku,
Menjadi lilin dalam tiap gelitaku..
Tanpamu, aku penasaran…..
Aku setia menanti kepulanganmu……

Love you forever,
Your fiancee
Amir Firdaus

NOTA yang terselit dicelahan nota-nota ilmiahnya ditatap. Sudah tiga  tahun usia nota tulisan tangan itu, namun Alfira Hanim tidak jemu menatapnya berkali-kali. Dia tersenyum sendirian melihat ayat cinta yang tertera di atas kertas itu. Masih jelas terbayang gelagat Amir Firdaus menyelitkan kertas itu di dalam beg tangannya sebelum dia berangkat ke Jerman. Walaupun reaksi lelaki itu nampak spontan, namun perlakuan itu tetap mencuit hati wanitanya. Sungguh dia sangat merindui lelaki itu. Apa khabar agaknya tunangannya itu ketika ini? Sihatkah dia?
Tiga tahun menuntut ilmu di negara orang tidak sedikitpun memudarkan rasa cinta Alfira buat Amir. Mengenali Amir Firdaus adalah saat paling indah dalam hidupnya. Tidak menyangka cintanya bertaut saat masih menuntut ilmu di UiTM Shah Alam. Walaupun niat asalnya adalah untuk menimba ilmu disana, namun cinta yang datang menyapa, sukar sekali untuk ditolak. Mungkin inilah yang dinamakan jodoh. Sebagai insan biasa, dia akur pada setiap sesuatu yang telah ditakdirkan untuknya.
Bagi Alfira, selain emak dan nenek, Amir adalah kekuatan untuknya terus mengharungi hidup. Dibesarkan tanpa kasih sayang insan bergelar lelaki menjadikan Amir adalah segalanya untuknya. Amir bukan sekadar tunangannya malah lelaki itu juga teman susah dan senangnya. Bersama Amir, dia berasa selamat dan lebih dihargai sebagai seorang wanita.
 Alfira tersenyum lagi bila mengingatkan hari bahagia mereka yang akan berlansung dua bulan sahaja lagi. Minggu hadapan, dia akan berangkat pulang ke Malaysia. Akhirnya, dia berjaya juga menamatkan pengajian ijazah sarjananya di bumi Jerman ini. Tidak sia-sialah pengorbanannya selama ini. Meninggalkan tunang dan keluarga demi mencari ilmu di Negara orang. Alfira menghelakan nafas lega. Hanya beberapa hari sahaja lagi dia akan kembali ke tanah air. Tidak sabar rasanya menatap wajah emak, nenek dan Amir. Perlahan-lahan potret wajah Amir Firdaus yang terletak di atas meja belajarnya diusap perlahan.
 “Mir…Fira rindu sangat dekat Mir. Kenapa Mir dah lama tak contact Fira?” Ngomel Alfira sendirian.
Alfira sedar, sejak enam bulan kebelakangan ini, Amir sudah jarang sekali menghubunginya. Kalau adapun, hanyalah email pendek untuknya. Itupun sekadar membalas kembali email yang dihantarnya. Punyalah panjang dia menaip email untuk tunangnya itu, bercerita tentang perkembangannya disini, melahirkan rasa cinta dan rindu namun email dari Amir Firdaus bagai tiada reaksi. Dingin dan kaku. Amir sekadar menasihatinya menjaga diri dan rajin belajar. Itu sahaja! Tiada lansung madah cinta dan kata-kata rindu yang dinantikannya selama ini. Salam kasihnya lansung tidak dibalas. Alfira cuba menyabarkan perasaannya yang terkilan dengan sikap tunangnya itu. Fikirnya, mungkin Amir terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga tidak punya masa untuknya. Hanya itu sahaja ayat yang sering digunakan untuk menyedapkan hati sendiri.
Huyoo….tenung muka tunang macam nak telan” Suara Nadia, teman sebiliknya mematikan lamunan Alfira. Segera dia menoleh. Nadia yang baru terjaga dari tidurnya petang itu tersengeh-sengeh. Gadis itu sibuk menenyeh matanya yang masih sukar untuk dibuka.
 “Kau ni ada-ada jer lah Nad. Kalau aku telan si Amir ni, sape yang nak kahwin dengan aku nanti?” Ngomel bibir comel Alfira. Wajahnya kembali dialihkan pada bingkai gambar disisinya. Masih ingin menatap wajah pujaan hatinya itu. Tidak dipedulikan reaksi Nadia yang mencebikkan bibir dengan jawapannya sebentar tadi.
“Tak adalah konon…Cik Alfira Hanim, awak tu orangnya cantik, lemah lembut pulak tu. Ramai yang nak beristerikan awak.... kalau si Amir tu tak ada, berderet yang beratur nak jadi suami awak tahu tak? ” Balas Nadia seakan mengejeknya.
Alfira Hanim hanya ketawa mendengar kata-kata Nadia. Malas menjawab gurauan sahabat karibnya itu lantas potret Amir pantas diambil. Dia membawa bingkai gambar itu ke katil peraduannya yang bersebelahan dengan katil Nadia. Dia membaringkan badannya di atas tilam itu. Gambar di tangan direnung penuh rasa cinta. Hatinya hanya untuk Amir Firdaus. Sampai bila-bila pun dia yakin cintanya hanya untuk lelaki itu. Masakan dia boleh menerima lelaki lain dalam hidupnya jika jantungnya ini tidak pernah berhenti berdegupkan nama Amir?
Melihatkan gelagat Alfira yang bagai orang dilanda angau itu, Nadia menggelengkan kepala. Dia tahu Alfira sangat merindui Amir. Saban hari dia melihat Alfira menanti panggilan telefon dari lelaki itu. Malah, hampir setiap pagi dia nampak Alfira menunggu dihadapan laptop untuk berbual dengan tunangnya melalui Yahoo Messenger. Tetapi, semuanya nampak sia-sia. Amir menyepikan diri dari sebarang khabar berita Lelaki itu bagaikan menghilangkan diri terus dari kehidupan Alfira. Entah kenapa, dia sendiri tidak pasti.
“Mir  tak contact kau ke? Aku rasa macam dah lama sangat tak tengok kau bergayut” Soal Nadia. Rambutnya yang berserabut selepas bangun dari tidur tadi dielus dengan jari jemarinya. Getah rambut yang terletak ditepi bantal dicapai lalu digunakan untuk mengikat rambut.
“Tak...Dia busy kot. Kan sekarang ni dia kena handle macam-macam projek” Balas Alfira perlahan. Dia tahu tanggungjawab tunangnya sebagai pengarah projek di syarikat bakal bapa mertuanya itu. Tugas Amir menuntut pengorbanan masa. Sebagai tunang, dia cuba untuk memahami. Mengingatkan itu semua, tiba-tiba saja dia terasa sebak. Adakalanya dia tidak dapat menipu rasa hatinya yang terasa dengan sikap endah tak endah Amir. Amir bagaikan melupai dirinya yang jauh di perantauan ini.
“Kau yakin ke dia sibuk? Selama ni sesibuk manapun dia, aku tengok tak pernah pun dia tak contact kau? Hampir setiap hari dia call kan? Paling tidakpun setiap hari dia akan chat dengan kau dekat YM. Ini, dah berapa lama dia senyap macam ni? Kau tak pelik ke Fira dengan sikap dia tu? Aku rasa ada yang tak kenalah” Nadia rasa tidak puas hati dengan jawapan Alfira. Dia yakin ada yang tidak kena dalam perhubungan Alfira dan Amir. Amir tak mungkin sengaja membiarkan Alfira terkapai begini kalau tidak bersebab.
“Aku tak suka berprasangka Nad. Aku percayakan Amir” Balas Alfira sedikit tegas. Memang dia bukan jenis yang suka berprasangka buruk. Selagi tiada pengakuan jujur dari mulut Amir, dia tidak akan peduli sedikitpun dengan kata-kata orang. Dia percayakan Amir seratus peratus. Kejujuran kekasihnya itu tak pernah diragui.
“Tapi Fira..kau tahu kan Amir tu macam mana dulu? Sebelum dia couple dengan kau?” Nadia mendekati Alfira. Dilabuhkan pungungnya disebelah Alfira. Wajah mendung Alfira ditatap. Dia tahu Alfira terluka dengan sikap Amir. Kadang-kadang dia agak tidak puas hati dengan sikap Alfira yang terlalu percayakan Amir. Gadis itu tak pernah menyimpan rasa sangsi sedikitpun. Lupakah Alfira bahawa seribu kemungkinan boleh terjadi di dalam dunia ini? Walau sebaik manapun Amir, kalau dah namanya manusia, pasti takkan terlepas dari melakukan kesilapan.
“Nad…tujuh tahun  aku mengenali Amir. Aku kenal dia Nad. Walaupun dulu dia tu suka bersosial, tetapi lepas berkawan dengan aku dia dah banyak berubah. Dia dah tak macam dulu lagi. Aku tak nak ingat sikitpun cerita lama dia tu. Itu cerita dulu. Masa tu dia muda lagi.” Kata Alfira perlahan.
Masih segar dalam ingatan Alfira janji Amir kepadanya untuk berubah jika lamaran lelaki itu diterima. Dan lelaki itu memang mengotakan janji-janjinya. Semuanya Amir lakukan hanya untuk dirinya. Ternyata Amir Firdaus sanggup berkorban demi dirinya. Malah, sepanjang usia percintaan mereka, Amir tak pernah sekalipun melukai perasaannya. Untuk apa lagi dia meragui cinta lelaki itu?
“Tapi Fira…”
“Nad, Kami dah nak kahwin dua bulan lagi. Kau doakanlah yang terbaik untuk aku dan Amir. Mungkin sekarang Amir sibuk uruskan majlis pernikahan kami nanti. Lagipun dia sorang-sorang dekat sana tanpa aku. Mesti banyak yang hendak diuruskan” Pantas Alfira memotong kata-kata Nadia. Dia tidak mahu lagi memikirkan soal kejujuran Amir. Selama ini dia cukup bahagia bersama Amir. Hidupnya yang sebelum ini sunyi tanpa kasih sayang seorang bapa dipenuhi dengan hadirnya Amir Firdaus. Keluarga kecilnya yang hanya ada dia, emak dan nenek semakin bahagia dengan kehadiran lelaki itu. Dia tidak mahu berfikir yang bukan bukan tentang tunangnya itu.
“Itu dulu Fira. Time kau banyak masa untuk diluangkan dengan dia. Waktu kau dekat dengan dia. Tapi sekarang ni, kau jauh..kau yakin ke dia betul-betul busy bukan sebab dia dah jumpa orang lain?” Protes Nadia sedikit geram. Dia yakin Amir Firdaus mungkin kembali kepada tabiat lamanya yang suka berkawan dengan ramai perempuan.
“Nad..kalau memang cinta Amir hanya untuk aku, aku tak perlu risau tinggalkan dia beribu batu sekalipun. Cinta takkan terhalang dengan jarak, Nad. Kalau cinta disebabkan aku selalu ada dengan dia, itu bukan cinta Nad. Itu nafsu..” Alfira masih mempertahankan Amir.
Mengapa cinta mesti berubah disebabkan jarak dan waktu?
Lagipun dia hanya pergi belajar. Itupun atas dorongan mereka yang dia sayangi. Amir sendiri yang menyuruhnya menyambung pelajaran. Amir faham akan cita-citanya untuk mengenggam segulung ijazah sarjana dan lelaki itu tidak pernah menghalang. Amir sentiasa menyokong apa saja kehendaknya.
“Aku bangga dengan kau Fira. Susah nak jumpa perempuan sebaik kau. Yang tak pernah ada rasa sangsi, penuh kesetiaan. Aku doakan kebahagiaan kau dengan Amir. Tapi kau janji dengan aku, kalau ada apa-apa masalah beritahu aku. Aku susah hati bila kau tak ceria macam ni” Akhirnya, Nadia terpaksa mengalah dengan kata-kata Alfira.
Bila cinta sudah merajai hati, semua keburukan akan nampak indah di mata. Nadia perasan akan kemurungan Alfira sejak dua menjak ini tetapi malas hendak bertanya kerana waktu itu mereka sibuk dengan peperiksaan akhir. Walaupun Alfira tekun belajar, sesekali dia perasan adakalanya fikiran gadis cantik itu melayang jauh. Seperti ada beban besar yang terhempap di kepalanya. Ada masanya dia melihat Alfira membelek-belek handphonenya yang sudah jarang berbunyi. Pernah juga dia terserempak dengan wajah sayu Alfira yang tampak gelisah bila tidak dapat menghubungi seseorang di telefon. Tidak bertanya pun Nadia yakin Alfira cuba menghubungi Amir Firdaus.
“Mir..apa yang kau sedang kau mainkan ni? Kasihan Fira…” Desis hati kecilnya.


KETUKAN di pintu menganggu tumpuan Amir Firdaus yang leka dengan kerja-kerja pejabatnya.
“Masuk” Arahnya.
Tidak lama kemudian, muncul wajah bapanya, Datuk Ir.Suffian di muka pintu.
“Papa tak balik lagi?” Soal Amir Firdaus.
Senyuman manis dihadiahkan untuk lelaki berusia pertengahan abad itu. Datuk Ir. Suffian membalas sambil melangkah ke meja kerja anaknya. Tanpa dipelawa, dia duduk di atas kerusi berhadapan dengan Amir.
“Papa ada benda nak cakap dengan Mir..”Suara Datuk Ir Suffian kedengaran mendatar namun sedikit tegas. Amir Firdaus memanggungkan kepalanya. Nada suara bapanya kedengaran pelik ditelinganya. Macam ada hal besar yang ingin dibincangkan. Pen ditangannya diletakkan. Tubuhnya disandarkan ke kerusi.
 “Hal apa papa? Kalau pasal problem dekat projek Banting tu, Mir dah suruh Hasnol take over. Lagipun, problem tu dah settle.”Amir Firdaus pantas menjawab. Dia masih ingat tugas yang diberi papanya untuk menguruskan masalah paip pecah disana. Dek kesibukannya, dia telah mengarahkan Hasnol melakukan kerja itu. Datuk Ir.Suffian mengelengkan kepalanya. Direnung wajah tampan anak sulungnya itu. Wajah Amir Firdaus banyak mewarisi kekacakan wajah arwah bapa mertuanya.
“Bukan hal keja tetapi hal personal. Papa minta maaf terpaksa bercakap hal ini dekat office. Sekarang Mir dah jarang balik rumah, nak cakap hal personal pun susah. Mir ke mana? Mama tiap-tiap hari bising sampai naik letih papa nak menjawab. Dahlah mama call pun Mir tak nak jawab” Marah Datuk Ir. Suffian. Baginya sikap Amir itu sudah melampau.
Amir melepaskan nafas berat. Sejak kebelakangan ini, fikirannya berserabut. Bermacam-macam masalah ada di dalam kepalanya. Hal kerja dan peribadi, semuanya membuatkan hidupnya makin tidak terurus sejak kebelakangan ini. Mamanya pulak tidak habis-habis bising tentang persiapan perkahwinannya yang hanya tinggal dua bulan sahaja lagi. Berleter sehingga telinganya sendiri sudah naik bernanah untuk mendengar.
“Mir balik rumah Mir dekat PJ” Jawab Amir Firdaus ringkas. Memang benar dia kini lebih selesa tinggal di rumah banglo dua tingkat yang dibelinya tiga tahun lalu. Lebih dari itu, dia ingin lari dari leteran dan kemarahan ibunya. Terasa tidak betah lagi untuk berada dirumah keluarganya ketika ini. Serabut! Lebih baik dia tinggal di rumah sendiri. Terasa lebih aman tanpa gangguan.
“Papa dengar Mir kerap keluar dengan seorang perempuan. Betul ke?” Soal Datuk Ir. Suffian lagi. Bukan seorang dua yang bercerita padanya perihal Amir Firdaus yang sering dilihat kerap keluar bersama seorang gadis seksi. Tetapi dia memekakkan telinga kerana yakin gadis yang diceritakan itu mungkin teman rapat Amir. Tetapi bila terlalu ramai rakan-rakannya yang mula bercerita, dia mula rasa tak senang duduk. Lebih-lebih lagi lusa bakal menantunya Alfira Hanim akan pulang ke Malaysia.
“Dia teman rapat Mir..” Jawab Amir Firdaus ringkas. Sebenarnya dia malas untuk berbual tentang hal itu dengan ayahnya. Tetapi, dia tahu lambat atau cepat ayahnya pasti mahukan penjelasannya berhubung perkara itu. Dia tak mungkin dapat mengelak.
“Teman macam mana? Remember here, lagi dua bulan Mir nak kahwin. Papa tak suka Mir berpeleseran dengan perempuan-perempuan tak guna tu macam dulu lagi. Enough!  ” Tegas suara Datuk Ir. Suffian memecah kesunyian bilik itu. Sungguh hati tuanya sudah tidak mampu bersabar lagi mendengarkan orang asyik bercerita tentang sikap buruk anaknya. Maruahnya sebagai ayah turut tercabar.
Stop it papa! Rina bukan gadis macam tu!” Balas Amir Firdaus. Marah dengan kata-kata papanya yang seakan menghina Zarina. Terkejut Datuk Ir. Suffian dengan kata-kata anaknya itu. Ternyata telahan orang ramai selama ini benar. Amir memang memiliki wanita lain selain Alfira dalam hidupnya.
So, nama dia Rina? Okey. Papa tak nak ambil tahu siapa dia pada Mir. Tapi Mir kena ingat Mir tu tunang orang. Jaga batas pergaulan tu sikit. Kalau Fira tahu hal ni, apa pula katanya nanti!” Datuk Ir. Suffian memberi amaran.
“Mir dah tak kisah kalau Fira tahu. Dia memang patut tahu” Selamba Amir Firdaus mengeluarkan kata-kata. Lansung tak memikirkan perasaan ayahnya itu.
“Amir!!” Jerit Datuk Ir Suffian. Sungguh dia tidak puas hati dengan cara Amir Firdaus berkata-kata. Bercakap sesuka hati tanpa memikirkan akibatnya.
“Dah kenyataan papa. Memang betul apa yang papa dan semua orang cakap selama ni. Mir memang ada hubungan dengan Rina. Mir minta maaf papa. Mir tak pernah berniat nak buat semua orang terluka dengan sikap Mir. Selama ni Mir sengaja tak balik ke rumah kita sebab Mir rimas dengan sikap mama yang tak habis-habis bertanyakan persiapan kahwin Mir dan Fira. Pa, I’m so sorry. Mir tak boleh tipu diri Mir. Perasaan Mir pada Fira memang dah tak ada..” Panjang Amir Firdaus melepaskan kata-kata. Terasa ringan kepalanya menceritakan perkara yang sudah lama tersimpan di situ. Sunguh! Dia benar-benar letih memikirkan masalah ini.
Terkaku Datuk Ir Suffian mendengar kata-kata Amir Firdaus. Bagai tidak percaya apa yang dibicarakan anaknya itu. Bukan dia tidak tahu selama ini Amir begitu tergila-gilakan Alfira, anak yang kematian bapa sejak kecil itu. Terbayang wajah lembut Alfira. Pertama kali dia menatap wajah anak itu, hati dia dan Datin Faridah sudah tertawan. Dia yakin Alfira calon menantu terbaik buat Amir. Tapi kini……
“Mir mengaku Mir tak patut buat macam ni pada papa, mama, Fira dan keluarganya. Tapi siapa Mir nak menahan perasaan cinta yang dah berubah pada orang lain? Mir dah sedaya upaya pertahankan perasaan Mir pada Fira, tapi memang tak boleh papa…mungkin jodoh Fira bukan dengan Mir” Ada nada kesal dari suara Amir Firdaus.
Dia tahu dia bersalah kerana curang dan menduakan cinta Alfira. Tetapi dia lelaki, mana mampu menahan godaan wanita yang memang diingininya sejak dulu? Ya! Dia mengenali Zarina ketika di bangku sekolah. Dalam diam dia menaruh hati pada gadis itu. Dia tertawan dengan kecantikan dan suara manja Zarina. Namun, ketika itu Zarina sudah mempunyai teman lelaki. Dia mengalah dengan keadaan ketika itu sehinggalah dia bertemu dengan Alfira. Gadis itu berjaya merubah persepsinya pada cinta. Sungguh dia sangat menyintai Alfira sehingga dia sangup meninggalkan semua tabiat buruknya demi menawan hati gadis pujaannya itu. Namun, pertemuan semula dengan Zarina ketika mengikuti seminar di Sabah membenihkan kembali rasa cinta yang pernah tumbuh suatu ketika dulu. Zarina cinta pertamanya. Tambahan pula, Alfira nun jauh di perantauan. Hidupnya jadi sunyi tanpa Alfira disisi. Sedaya upaya dia cuba menepis rasa cinta yang hadir untuk Zarina namun dia gagal. Dia kalah pada perasaan sendiri. Dia rasa berdosa pada Alfira kerana mengkianati cinta mereka.
“Papa kesal dengan Mir. Sampai hati Mir buat macam ni….’
“Papa, Mir tak mampu nak tolak cinta yang datang tu. Ini bukan kehendak Mir saja” Balas Amir. Masih mempertahankan dirinya. Baginya, hati dan perasaan tak boleh dipaksa. Kalau hatinya sudah tidak suka, untuk apa lagi dipaksa? Dia tak mahu berpura- pura dalam bercinta.
“Kalau itulah alasan Mir, papa memang tak boleh terima. Bertahun- tahun papa menyintai mama tanpa jemu. Kami juga pernah terpisah macam Mir dan Fira bila papa terpaksa pergi offshore selama setahun. Papa terima banyak godaan dari bermacam jenis perempuan sepanjang tempoh itu, tapi cinta suci papa pada mama tak pernah padam. Semuanya terletak atas kita Mir. Atas kita! Kenapa Mir? Kenapa tergamak Mir lukakan hati kami? Kasihan Fira..”Datuk Ir Suffian benar-benar kesal dengan sikap Amir. Anak itu tidak pernah serik!
“Papa…Mir bukan macam papa. Mir tak pernah berubah dan kembali menjadi liar macam dulu. Bezanya sekarang, cuma hati Mir pada Fira dah tak ada. Lagipun Mir dah buat keputusan..” Amir Firdaus menarik nafas dalam-dalam. Hari ini, dia mesti meluahkan apa yang tersimpan dalam kepalanya selama ini. Dia yakin papanya dapat terima. Papa tak macam mama!
“Keputusan apa?”



Nota 1: Dalam proses memindahkan semua karya saya ke sini. Maaf sangat busy sekarang. tak sempat nak menjenguk ke sini dan update e-novel saya.

No comments:

Post a Comment

Jemput komen. Sebarang komen membina amat membantu saya memperbaiki mutu penulisan. Thank's sudi baca =)