Tuesday 3 April 2012

Novel Kerana Cinta Itu 3




“APAPUN jadi, saya tetap nak Fira tu jadi menantu saya. Budak Amir ni dah melampau betul! Geram saya dibuatnya abang” Datin Faridah melepaskan rasa tidak puas hatinya. Diurutnya dada yang mula bergetar hebat. Kemarahannya sudah setahap gunung berapi. Tunggu masa saja mahu meledakkan laharnya.
            Datuk Ir. Suffian hanya mengelengkan kepala melihat tingkah isterinya itu. Sejak dari tadi isterinya itu tidak henti-henti bercakap. Dari mereka di butik pengantin, di dalam kereta sampailah sekarang, di rumah ini, mulut wanita itu bagaikan bertih jagung. Berleter sahaja. Panas jugak telinganya mendengar. Hendak menegah, takut merajuk pula Datin Faridah. Sudahlah sekarang ini isterinya sedang melancarkan perang dingin dengan Amir Firdaus. Silap percaturan, mungkin dia juga akan menerima nasib yang sama seperti anak lelakinya itu. Datuk Ir. Suffian mengeluh kurang senang.
            “Kalau dah Mir tak nak, kita nak buat apa lagi Idah? Takkan nak paksa pulak. Dia yang nak kahwin. Bukannya kita” Balas Datuk Suffian cuba mententeramkan hati isterinya yang sedang marak dengan api kemarahan.
Bukan dia membela tindakan gila Amir Firdaus itu, tetapi sebagai ketua keluarga, kemarahan bukanlah jalan penyelesaiannya. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia keruh. Setiap masalah pasti ada jalannya. Mereka tak boleh terlalu emosional begini.
“Abang! kita tak pernah paksa dia tau kahwin dengan Fira. Fira tu dia yang pilih . Dia yang beria-ria nak beristerikan si Fira tu dulu. Sekarang, bila kita dah suka, dah sayang dekat budak tu, dia pulak buat macam ni. Anak awak tu memang dah hilang akal gamaknya.. ” Balas Datin Faridah.
Matanya di lemparkan ke luar balkoni rumah. Sakit hatinya bila mengingatkan perangai Amir yang bagai lepas tangan. Penat dia ke hulu hilir menguruskan majlis pernikahannya dengan Alfira, anak sulungnya itu lansung tak pernah nak ambil peduli. Disangkakan Amir sibuk dengan kerjanya, rupa-rupanya anaknya itu sedang seronok bersuka ria dengan perempuan lain. Patutlah bila dia asyik bertanya tentang majlis kahwin mereka, Amir selalu saja mengelak. Dah ada penganti Alfira rupanya. Datin Faridah mengetap bibirnya menahan geram di hati.
“Ya..abang tahu kita tak pernah paksa dia. Tapi sekarang awak nak buat apa? Awak bising-bising macam ni bukan jadi apapun Idah. Anak kita tu, sampai nak jejak kaki ke rumah ini pun taknak. Semuanya sebab mulut awak tu. Cuba bawa bersabar sikit” Datuk Suffian masih cuba berdiplomasi. Bertahun hidup sebumbung dengan isterinya itu, dia kenal sangat sikap Datin Faridah yang mudah naik marah. Pantang ada perkara yang tidak disukainya, tentu berjela leteran yang keluar dari mulutnya. Pening kepala juga dibuatnya. Tetapi disebabkan sayangkan isteri, dilayankan saja apa yang dikatakan isterinya itu.
Datin Faridah yang sedari tadi berjalan-jalan di tengah ruang tamu rumah mereka mendekati suaminya. Dia melabuhkan pungungnya disebelah Datuk Ir. Suffian. Bibirnya melepaskan keluhan.
“Saya marah sangat abang. Rasa nak bagi penampar dekat Mir tu pun ada. Elok sangat dia tak balik sini. Kalau tak, teruk saya kerjakan. Eiii…geramnya saya” Datin Faridah berkata sambil menggengam tangannya kuat. Cuba melepaskan rasa geramnya di situ. Marahnya terasa membuak-buak. Ikutkan hati mahu saja ditampar tampar pipi anaknya itu sepuas hati. Biar fikiran anaknya yang sudah rosak itu cepat pulih. Gila ke apa nak batalkan perkahwinan yang cuma tinggal kurang dari dua bulan? Lebih menyakitkan hati bila Amir sesuka hati ingin menukar pengantin perempuannya. Ingat ini cerita dalam filem ke main suka hati nak tukar-tukar? Jangan harap dia akan terima perempuan lain selain Alfira! Amir perlu langkah mayatnya dulu kalau nak perkara itu berlaku!
“Hisy..awak ni Idah. Cuba bawak beristigfar sikit. Jangan biar rasa geram menguasai diri. Kalaupun kenduri tu tak jadi, saya dah tak malu dah apa orang sekeliling nak cakap.” Kata Datuk Ir. Suffian. Bukannya dia tidak kisah, tapi apa dayanya nak memaksa Amir Firdaus? Dia tidak mahu Amir mensia-siakan hidup Alfira selepas mereka berkahwin kelak. Alfira terlalu baik untuk menerima lelaki curang seperti anaknya. Dia tak  mahu Amir menghancurkan kebahagiaan Alfira.
“Abang, saya tak kisah tanggung malu kalau kenduri tak jadi tapi saya kisahkan perasaan Fira tu. Kesian dia abang. Sudahlah tak ada ayah, sedara mara pun tak ramai. Ada mak dengan nenek dia saja. Sekarang, Mir buat macam ni pulak dekat dia. Fira tu sayang dan percaya betul dekat Mir tu….saya tak boleh terimalah semua ni” Akhirnya, tumpah juga air mata Datin Faridah. Dia sangat kesal dengan sikap anak lelakinya itu. Apa dia ingat hati perempuan ini mainan? Boleh dimainkan sesuka hati. Bila nak, ambil, taknak dibuang macam tu saja. Sungguh tidak matang pemikiran Amir Firdaus!
Datuk Ir. Suffian mengusap-ngusap bahu isterinya. Cuba mententeramkan hati Datin Faridah yang penuh kesedihan. Dia turut terkilan dengan sikap Amir Firdaus. Sudah dapat gadis sebaik Alfira tetapi masih mencari yang lebih sempurna. Entahkan kaca atau permata dia tidak tahu. Melihatkan gaya Zarina saja dia memang tidak berkenan. Tetapi, kalau sudah itu yang dimahukan Amir, bagaimana lagi dia mahu menghalang? Perkahwinan bukan boleh dipaksa. Biarlah masjid yang dibina itu atas kerelaan masing-masing.
“Idah, apa yang mampu kita buat sekarang hanyalah berdoa. Kita minta Allah lembutkan hati Amir untuk terima Fira dalam hidup dia” Datuk Ir. Suffian mengelap titisan airmata di pipi isteri kesayangannya itu.
Hati Datuk Ir Suffian turut sebak. Seperti Datin Faridah, dia turut menginginkan Alfira sebagai menantu. Bukan kerana kasihan tetapi mereka sudah lama mengangap Alfira sebagai anak sendiri, lebih lebih lagi mereka tidak mempunyai anak perempuan. Anaknya, ketiga-tiganya lelaki. Aizul Ikhwan, anak keduanya masih belajar di United Kingdom dan anak bongsu mereka Airil Akhmar pula baru tamat SPM. Yang sering bersama mereka sekarang hanyalah Amir Firdaus. Malah lelaki itu jugalah yang diharapkan untuk membantu urusannya di pejabat. Dia tak mahu hubungan mereka anak beranak berantakan hanya kerana perkara ini.
Datin Faridah hanya mampu menganggukkan kepala.Ya! Itulah doanya setiap kali usai solat. Selagi diberi kesempatan untuk hidup, dia takkan putus asa untuk berdoa dan mengharapkan kasih dua insan itu kembali bertaut. Naluri keibuannya yakin Amir memang ditakdirkan untuk Alfira. Bukan Zarina atau siapa-siapa.
Hanya Alfira Hanim!


ALFIRA Hanim leka memandang dulang hantaran perkahwinan yang telah siap digubah ibunya. Cantik dan kreatif! Detik hatinya. Puan Hasnah tersenyum memandang anak gadisnya yang tekun meneliti hasil kerja tangannya.
“Mak nak buat tiga belas hantaran untuk pihak kita nanti” Kata Puan Hasnah.
“Banyaknya mak. Tak membazir ke?” Soal Alfira sedikit terkejut dengan kata-kata ibunya. Fikirnya hanya mahu membuat hantaran dalam tujuh atau sembilan dulang sahaja. Baginya, itu sudah cukup. Lagipun dulu dia pernah membincangkan perkara ini dengan Amir dan lelaki itu tidak kisah.
“Apa pulak membazirnya. Semua barang-barang hantaran tu boleh pakai. Baju, skincare, sejadah, semua itukan Mir boleh guna nanti. Mirpun dah lama mak anggap macam anak sendiri. Biarlah kita bagi lebihpun. Lagipun ini kenduri pertama dan terakhir keluarga kita. Lepas ni tak ada lagi. Tak salahkan kalau mak nak buat meriah sikit” Puan Hasnah menjawab. Gunting disebelahnya dicapai untuk memotong tali ribbon yang digunakan untuk mnghias bakul hantaran.
Memang itu hasrat Puan Hasnah dari dulu. Alfira Hanim satu-satunya harta yang dia ada. Amanat terakhir yang ditinggalkan suaminya untuknya. Dia mahukan yang terbaik buat anaknya itu. Biarpun majlis perkahwinan itu nanti tidak sehebat perkahwinan yang diadakan di sebelah keluarga Amir, tetapi dia mahu kemeriahan itu tetap ada. Sekurang kurangnya dia telah cuba memberikan yang terbaik untuk anak gadisnya itu.
“Pandai mak pilih warna dulang hantaran ni. Hijau. Fira suka sangat-sangat!”
“Mestilah. Mak tahu apa yang anak mak suka”
“Fira sayang mak!” Ujar Alfira Hanim lantas pipi Puan Hasnah diciumnya. Puan Hasnah ketawa kecil dengan perlakuan mesra anaknya itu. Sejak dulu, itulah yang kerap dilakukan Alfira. Sebagai ibu, dia rasa cukup terharu.
“Mak pun sayangkan Fira tau. Hmmm..bila Fira nak pergi beli cincin dengan Mir?” Soal Puan Hasnah tiba-tiba. Baru dia teringat tentang cincin pernikahan anaknya yang belum lagi dibeli.
Terdiam Alfira saat mendengar pertanyaan ibunya. Sudah seminggu dia pulang, tetapi Amir Firdaus lansung tidak menghubunginya. Mereka belum lagi berkesempatan untuk bersua muka. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk menemui Amir, malah sudah acapkali. Tetapi panggilannya lansung tak berjawab. Sudahnya, dia jadi malas sendiri. Terasa diri pula yang terhegeh hegeh. Tunangnya itu bagai tidak sudi menemuinya. Sibuk sangatkah Amir sampai tak ada masa lansung untuknya? Takkanlah seminit pun tak ada untuk menghubunginya?
“Entahlah mak. Mir macam tak sudi nak jumpa Fira je…macam mana nak pilih cincin bersama, jumpa dia pun belum. Mir memang busy sangat ke mak?” Soal Alfira. Sungguh dia jadi pelik dengan kebisuan Amir sekarang. Bagai ada yang tidak kena dengan lelaki itu. Tetapi tentang apa, dia tak dapat pula hendak meneka.
Puan Hasmah yang sedari tadi sibuk mengubah bakul hantaran menghentikan perbuatannya. Wajah sedih Alfira dipandangnya. Bukan Alfira sahaja, dia juga turut perasan akan perubahan sikap Amir Firdaus. Lelaki itu sudah lama tidak bertandang kerumahnya. Walaupun sekali sekala Amir Firdaus ada menelefon bertanyakan khabarnya dan Hajjah Kalsom tetapi Amir lansung tidak pernah menyebut tentang persiapan perkahwinannya dengan Alfira. Bila ditanya, pasti ada sahaja alasannya untuk mengelak dari membincangkan perkara itu.
“Fira tak tanya Datuk dan Datin?” Soal Puan Hasnah pula.
“Fira tak larat dah nak tanya mak. Cukuplah sekali dua Fira bertanya. Nanti apa pulak kata Datuk dan Datin. Entahlah mak. Fira rasa tak sedap hati je sekarang. Macam ada yang tak kena”
“Maksud Fira?”
“Mak, Mir masih sayangkan Fira ke?” Mata Alfira Hanim sudah berkaca saat soalan itu terlontar dari bibirnya. Sejak dari di KLIA, itulah soalan yang berlegar-legar dimindanya. Amir Firdaus terlalu banyak berubah. Dulu sebelum dia berangkat ke Jerman, sesibuk manapun lelaki itu, masa untuknya tetap ada. Pernah sekali Amir Firdaus sanggup ponteng kerja semata-mata ingin bertemu dengannya. Tapi sekarang untuk bermesej dengannya pun Amir tak mampu, apatah lagi untuk bertemu.
Alfira Hanim melepaskan nafas berat. Dia cuba memikirkan yang baik-baik sahaja tentang tunangnya itu tetapi sekarang emosinya makin terganggu.
Tidak rindukah Amir Firdaus padanya?
“Fira..mak faham perasaan Fira. Sebulan je lagi nak kenduri. Cubalah bawa berbincang dengan Mir. Mungkin dia ada masalah sekarang. Sebab tu dia tak dapat jumpa Fira”
“Kalau dia ada masalah, dia patut beritahu Fira. Fira ni tunang dia mak. Selama ni dia tak pernah buat Fira macam ni. Tak pernah berahsia pun. Tapi sekarang dia terlalu banyak berubah. Tiga tahun Fira rindukan dia, tapi sia-sia je mak. Dia tak fikirkan perasaan Fira lansung” Protes Alfira. Dia cuba menahan air matanya daripada gugur. Perasaannya jadi makin sensitif pula sekarang.
“Fira sabarlah nak...nanti mak try bincang dengan Datuk dan Datin. Mungkin Mir tu ada masalah. Datin cakap Mir dah tak tinggal dekat rumah mereka lagi. Dia dah pindah PJ”
Alfira Hanim memandang wajah ibunya. Dahinya berkerut sedikit.
Pindah?
Dia masih ingat lagi rumah banglo dua tingkat yang dibeli Amir Firdaus sebagai persediaan tempat tinggal mereka bila berkahwin kelak. Tiba-tiba sahaja dia mengukir senyuman. Wajahnya yang tadi mendung sudah bertukar ceria. Dia pasti dengan telahannya kali ini.
“Mak..agaknya Mir sibuk hiaskan rumah kami tak? Dia nak bagi surprise dekat Fira. Sebab tu dia tak jumpa Fira kan?” Kata Alfira penuh yakin. Dia masih ingat tentang rumah banglo dua tingkat itu. Malah, mereka sama-sama melihatnya sebelum dia bertolak ke Jerman. Nampaknya, rumah itu telah siap di bina sepenuhnya. Kalau tidak, masakan Amir telah berpindah masuk ke sana.
Puan Hasnah hanya mengangukkan kepala, cuba membuang rasa tidak enak dihatinya. Seperti Alfira Hanim, dia juga tidak mudah melatah dengan keadaan. Menjadi ibu tinggal sejak Alfira berusia lima tahun banyak mematangkan dirinya dalam menempuhi ranjau kehidupan. Ketabahan yang dibina bukan sedikit.
“Nanti lepas kahwin Fira akan duduk situ dengan Mir. Betul jugak kata Fira tu. Kalau tak, takkan Mir nak pindah masuk rumah dekat PJ tu kan?”
“Mir ni….suka buat Fira risaukan mak. Tapi takpelah, kalau pasal rumah tu yang dia sibuk sangat Fira tak kisah tapi takkanlah sampai taknak jumpa Fira. Takpelah mak, nanti Fira try call dia lagi..” Alfira mengukirkan senyuman. Dia berharap  telahannya kali ini benar.
“Dah. Jangan sedih-sedih lagi. Nanti hilang seri pengantin tu….takpelah kalu Mir tak dapat temankan Fira tengok cincin tu. Mak dengan Datin kan ada. Lagipun kami lebih tahu pasal cincin dari Mir tu….mak tahu nilai cantik atau tak cincin tu” Pujuk Puan Hasnah lagi. Lega hatinya bila Alfira hanim sudah kembali ceria.
Ish mak ni..kesitu pulak. Fira tak kisahlah pasal cincin tu cantik atau tak. Yang penting Fira pilih sama-sama dengan Mir. Lagipun, itukan cincin kahwin kami? Tapi takpelah..Fira ikut je apa kata mak dengan Datin nanti” Akhirnya, Alfira akur dengan cadangan ibunya.
Tiba-tiba Alfira mendengar telefon bimbitnya nyaring berbunyi. Dia yang berada diruang tamu ketika itu berlari masuk kedalam bilik untuk mendapatkan telefon bimbitnya.
Melihatkan nama Amir Firdaus tertera di skrin telefon, Alfira tersenyum suka hati. Akhirnya, Amir menghubunginya juga! Dengan penuh debaran, panggilan itu dijawabnya.
“Assalammualaikum Mir…” Lembut Alfira memberi salam.
“Waalaikummussalam…Fira sihat? Mak dengan nenek macam mana?”Jawab Amir Firdaus. Terasa lunak pula suara Alfira ditelinganya. Suara yang selalu menjadi igauan mimpinya suatu ketika dulu.
“Alhamdulillah….Fira sihat. Mak dengan nenek pun sihat. Mir apa khabar?” Balas Alfira. Setelah enam bulan tidak berbual ditelefon, dia jadi gugup sedikit. Akhirnya, terlepas juga rindu yang mengasak dadanya selama ini bila mendengar suara Amir Firdaus. Sungguh! Dia sangat merindui lelaki itu. Terasa mahu berlinang air matanya kerana terlalu teruja mendengar suara lelaki itu. Hatinya jadi sebak. Tidak menyangka Amir akan menghubunginya hari ini. Sesuatu yang dia nantikan sejak dulu lagi.
“Mir sihat. Sorry tak dapat jemput Fira hari tu. Mir ada keja” Suara Amir Firdaus kedengaran mendatar di hujung talian.
“Takpe. Mak dah bagitau hari tu Mir pergi Kuantan. Ehm..Mir, Fira…Fira rindu sangat –sangat dekat Mir. Selalu Fira mesej dan call Mir tak jawab pun. Mir buat Fira ni macam tak penting. Kenapa? ”
Hmm….Fira, Mir ada masalah ni. Ada hal mustahak yang nak bincang dengan Fira” Tenang sahaja suara Amir Firdaus kali ini. Lansung tidak menjawab pertanyaan Alfira tadi.
“Hal mustahak? Kalau Mir ada masalah kenapa taknak kongsi dengan Fira? Patutla Mir diam je selama ni. Contact Fira pun tak. Rupanya tanggung masalah sorang-sorang” Balas Alfira sedikit merungut.
“Mir minta maaf. Mir sibuk sangat sekarang. Bila Fira free? Kita jumpa? Mir nak bincang hal ni dengan Fira” Balas Amir pula.
“Pasal apa Mir? Pasal kita ke?” Soal Alfira penuh tanda tanya.
A’ah..pasal kita”
“Hal perkahwinan kita ke?” Soal Alfira lagi.
“Ya..” Ringkas jawapan Amir Firdaus.
“Fira free je. Mir nak datang rumah ke?”
“Tak..kita bincang dekat luar. Mir datang ambil Fira malam ni Okey? Pukul 8 malam.”
“Ok..”
“Jumpa malam nanti..bye..” Lantas panggilan telefon terus dimatikan. Cepat sekali tanpa sempat Alfira membalasnya. Alfira Hanim sedikit kecewa dengan cara Amir menamatkan perbualan. Tiada lansung kata rindu dan cinta dari lelaki itu. Bercakap pun bagai tergesa-gesa. Apa masalah Amir sebenarnya?
“Siapa call tadi?” Soal Puan Hasnah sebaik melihat kelibat Alfira diruang tamu.
“Amir..”Jawab Alfira ringkas. Wajahnya tidak lagi seceria tadi.
“Hah..baguslah tu. Dia dah call Fira kan. Dia nak datang ke?” Soal Puan Hasnah lagi.
Alfira hanya menganggukkan kepala. Telefon bimbit yang masih berada ditangan dibeleknya. Seakan tidak percaya dengan sikap Amir sebentar tadi. Amir bagaikan orang lain. Cara Amir lansung tak menunjukkan kemesraan. Bagaikan mereka berdua tidak punya hubungan mesra.
“Kenapa ni? Mir dah call pun Fira muram lagi” Tegur emaknya.
“Mir cakap ada hal mustahak nak bincangkan. Pasal hal kami berdua..”Balas Alfira. Dia rasa tidak sedap hati sekarang. Lebih-lebih lagi dengan perlakuaan Amir Firdaus ketika bercakap di telefon tadi.Tiada kemesraan lansung!
“Dia nak bincang pasal persiapan perkahwinan lah tu. Apa yang nak dirisaukan sangat”
“Iya mak, tapi hati Fira ni rasa tak sedap je. Macam, ada yang tak kena..”
“Dah, dah jangan fikir-fikir lagi. Yang penting Fira jumpa Mir kan. Bila dia nak datang?”
“Malam ni. Dia nak bawa Fira keluar ” Balas Alfira.
“Elok sangatlah tu…bincanglah apa yang patut. Kenduri pun dah nak dekat ni. Sebelah Mir tu mungkin dah settle. Datuk upah orang je buat. Sebelah kita ni yang tak setlle-settle lagi.”Kata Puan Hasnah.
Alfira Hanim hanya mampu menganggukkan kepala. Dadanya makin berdebar-debar untuk bertemu tunangnya malam ini. Risau memikirkan hal mustahak yang dikatakan Amir.

2 comments:

  1. jhat la amir nie..cian kt fira tw..kak ble nk kua kn nvel nie cdey sgt cte dye smpai fira tkanan prasaan da..

    ReplyDelete

Jemput komen. Sebarang komen membina amat membantu saya memperbaiki mutu penulisan. Thank's sudi baca =)